Rasuah: 12 bulan penjara

Rasuah: 12 bulan penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Julai – Akibat menerima dan memberi rasuah berupa 550 jubin homogen dan dua tan simen, seorang bekas pegawai bomba dan seorang pengarah urusan syarikat dijatuhi 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Kanan Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar memerintahkan hukuman terhadap bekas pegawai yang berpangkat Penolong Penguasa Bomba, Wadi bin Haji Tuah dan Pengarah Urusan Syarikat Pro-Team Construction & Trading Sdn Bhd, Yap Tiew Hon berkuat kuasa, hari ini, selepas menolak permohonan Peguam Bela Yusof Halim yang mewakili Wadi dan Peguam Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman dan Balendran Balasingam bagi pihak Yap Tiew Hon untuk mendapatkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan didengar di Mahkamah Tinggi.

Ketika menjatuhkan hukuman, Majistret Kanan berkata, tiada sebarang penangguhan kes dilihat seperti yang dihujahkan oleh peguam bela sebaliknya penangguhan adalah daripada pihak peguam bela sendiri yang meminta tempoh untuk meneliti dokumen dan tidak dapat memperuntukkan masa hadir di mahkamah.

“Mahkamah tidak akan mengenakan perintah percubaan dan kerja kemasyarakatan seperti yang dicadangkan oleh peguam bela sebagai hukuman ke atas tertuduh kerana undang-undang adalah jelas di mana kesalahan yang dilakukan memperuntukkan hukuman pemenjaraan,” tegas Majistret Kanan.

Wadi didapati menerima rasuah berupa 550 jubin homogen yang bernilai $605 dan dua tan simen berharga $350 daripada Yap Tiew Hon.

Yap Tiew Hon pula didakwa bersubahat dengan Wadi yang bertanggungjawab untuk me-meriksa dan meluluskan projek pembangunan perumahan yang dikendalikan oleh syarikat tersebut.

Kedua-dua mereka disabit oleh Mahkamah Majistret pada 13 Jun 2016 atas kesalahan yang dilakukan pada November 2011.