Rasuah: 8 men...

Rasuah: 8 menteri brazil digesa letak jawatan

BRASILIA, 20 April – Parti Pekerja Brazil (PT) pada Rabu menuntut Suruhanjaya Etika Awam negara itu mengugurkan lapan menteri kerajaan yang sedang disiasat Mahkamah Agung atas kesalahan rasuah, lapor agensi berita China Xinhua.

PT dalam satu kenyataan berkata, lapan menteri itu perlu digugurkan segera kerana gagal menjalankan urus tadbir yang baik dan melanggar etika awam.

Di bawah Operasi ‘Lava Jato (Wash Car)’, ramai menteri di bawah pentadbiran Presiden Michel Temer kini disiasat sementara puluhan ahli politik dan eksekutif perniagaan ditangkap kerana terbabit dalam skandal rasuah membabitkan syarikat Petrobras.

Mereka disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan antara lain rasuah secara aktif dan pasif, pengubahan wang haram dan penipuan tender.

Minggu lalu, Mahkamah Agung membuka siasatan terhadap beberapa menteri dan lebih 70 anggota parlimen yang dinamakan dalam semua pengakuan oleh eksekutif syarikat pembinaan Odebrecht kerana mempunyai kaitan dengan kegiatan rasuah dan menggunakan dana awam untuk membiayai kempen mereka. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA