Rasuah: 8 pekerja BSP didakwa

Rasuah: 8 pekerja BSP didakwa

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mei – Kerana didakwa terlibat menerima rasuah, seramai lapan kakitangan dan bekas kakitangan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dihadapkan ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret secara berasingan, hari ini.

Tiga daripada tertuduh, yang merupakan bekas kakitangan BSP, dihadapkan ke Mahkamah Tinggi sementara lima lagi termasuk kakitangan syarikat berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret.

Bekas Penyelia Operasi Kanan, di Bahagian Operasi Pengeluaran, Terminal Minyak Mentah Seria, Salehan bin Haji Marsal dihadapkan ke Mahkamah Tinggi atas 21 pertuduhan dengan secara tidak jujur telah menerima wang suapan $154,000 sebagai ganjaran untuk meluluskan tuntutan pembelian dan menandatangani nota penghantaran bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk BSP antara April 2007 hingga Disember 2008.

Bekas Penjadual Daratan, di Bahagian Operasi Timur syarikat, Muhammad Azam Zaki bin Haji Zain syarikat turut dihadapkan ke Mahkamah Tinggi atas lima kesalahan menerima wang dengan jumlah keseluruhan $88,200 sebagai ganjaran membuat tempahan kerja bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk BSP antara Julai hingga September 2008.

Sementara itu, Bekas Sokongan Rangkaian Pembekalan, Aidah binti Tengah pula menghadapi tujuh pertuduhan kerana menerima wang suapan berjumlah $117,500 untuk membuat pesanan pembelian bagi bahan-bahan kimia untuk BSP antara Mei 2008 hingga April 2009.

Dalam sebutan itu, Aidah diwakili oleh Peguam Rozaiman Rahman manakala Salehan dan Muhammad Azam Zaki diwakili Peguam Ahmad Zakaria.

Ketiga-tiga defendan dibebaskan dengan ikat jamin $20,000 dan dua penjamin tempatan setiap seorang.

Hakim Dato Paduka Steven Chong menetapkan 23 Jun 2015 untuk sebutan semula kes.

Dalam Mahkamah Majistret pula, seorang lagi Bekas Sokongan Rangkaian Pembekalan syarikat, Hajah Latifah binti Junaidi menghadapi 35 pertuduhan menerima wang suapan dalam jumlah $36,073 untuk membuat pesanan pembelian pelbagai peralatan keselamatan kecemasan untuk BSP antara Mac 2008 hingga Januari 2009.

Dayang Hajah Asnah binti Haji Sairan yang berjawatan Bekas Sokongan Rangkaian Pembekalan (Seismik/Geomatik) pula menghadapi enam pertuduhan kerana secara tidak jujur menerima $20,100 untuk membuat pesanan pembelian bagi barang-barang industri untuk BSP antara April hingga November 2008.

Penjaga Stor di Bahagian Sokongan, Pemindahan & Logistik BSP, Mohd Faisal bin Haji Ismail menghadapi 10 tuduhan menerima wang rasuah $24,750 untuk membuat tempahan dan juga menandatangani nota penghantaran bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk BSP antara November 2007 hingga Ogos 2009.

Seorang lagi kakitangan BSP, Sabeli bin Ismail yang bekerja sebagai pentadbir kanan platform luar pesisir didakwa dengan enam pertuduhan menerima wang sejumlah $30,250 untuk membuat tempahan kerja bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk BSP.

Rosli bin Simon yang bekerja sebagai Mandur Pengeluaran di Bahagian Operasi Pengeluaran, Terminal Minyak Mentah Seria juga didakwa bagi enam pertuduhan menerima wang suapan berjumlah $63,800 untuk membuat permintaan bagi pembelian barang-barang di Syarikat Musfada Enterprise dan menandatangani nota penghantaran bagi pembelian peralatan keselamatan untuk BSP antara Oktober hingga November 2005.

Pemangku Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan 23 Jun 2015 untuk sebutan semula kes, dan membenarkan kesemua defendan diikat jamin $10,000 atau dua orang penjamin tempatan setiap seorang.

Mewakili Timbalan Pendakwa Raya bagi kelapan-lapan kes rasuah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret ialah Dato Seri Setia Davindher Singh dari Drew & Napier LLC, Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA