Rasuah: Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah

Rasuah: Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Seorang ahli perniagaan tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah.

Chan Key Hong berdepan pertuduhan secara tidak jujur memberikan wang $90 kepada dua kakitangan kerajaan, Zamri bin Haji Jaludin dan Pengiran Haji Baharuddin bin Pengiran Haji Mohd Tahir, masing-masing merupakan Merinyu Perancang di Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Dia didakwa memberi rasuah sebagai dorongan agar mereka tidak meneruskan pemeriksaan secara teliti terhadap syarikatnya bagi tujuan memperbaharui sijil bengkel syarikat tersebut.

Dalam bilik mahkamah yang sama, Zamri dan Pengiran Haji Baharuddin juga mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka.

Mereka berdua dituduh menerima wang tunai berjumlah $90 daripada, Chan Key Hong.

Mereka bertiga didakwa melakukan kesalahan itu di Maju Motors Sdn Bhd, pada 30 Ogos 2011.

Timbalan Pendakwa Raya, Norjauinah binti Haji Kula memaklumkan mahkamah bahawa kedua-dua kes itu akan disatukan dalam sebutan akan datang.

Zamri dan Pengiran Haji Baharuddin diwakili Peguam Bela Pengiran Khairul Nizam manakala Chan Key Hong diwakili Peguam Bela Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abd Rahman dan Balendran.

Ketua Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menetapkan 15 Jun untuk sebutan seterusnya, dan melanjutkan ikat jamin kesemua defendan.

ARTIKEL YANG SAMA