Rasuah: Bekas PM dipenjara

Rasuah: Bekas PM dipenjara

BAITULMAQDDIS, 25 Mei (AFP) – Sebuah mahkamah Baitulmuqaddis menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas bekas perdana menteri Ehud Olmert hari ini, selepas menyabitkannya dengan kesalahan rasuah semasa perbicaraan semula Mac lalu, lapor media Israel.

Para peguam Olmert, yang pernah menjadi perdana menteri dari tahun 2006 hingga 2009, segera mengumumkan mereka akan membuat rayuan.

Olmert, 69 tahun telah pun berdepan hukuman penjara enam tahun yang telah dijatuhkan ke atasnya dalam kes pemberian rasuah yang berasingan yang pada masa ini menjadi tajuk rayuan kepada mahkamah tinggi.

Olmert sentiasa menegaskan dia tidak bersalah, dengan menyifatkan dakwaan ke atasnya sebagai ‘kejam dan tidak ada belas kasihan’.

Ini adalah satu keaiban bagi lelaki ceria yang pernah menjadi perdana menteri selepas mentornya yang juga perdana menteri sebelumnya Ariel Sharon menjadi koma dan masih belum sembuh lagi.

Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert (kanan) bercakap dengan peguamnya semasa perbicaraannya pada 25 Mei di Mahkamah Daerah Baitulmuqaddis. – AFP
Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert (kanan) bercakap dengan peguamnya semasa perbicaraannya pada 25 Mei di Mahkamah Daerah Baitulmuqaddis. – AFP

Olmert pada awalnya dibebaskan daripada penipuan dan rasuah dalam kes itu, dan terlepas dalam tahun 2012 dengan denda $19,000 dan dijatuhi hukuman tertangguh kerana pecah amanah.

Tetapi bukti baru muncul ketika perbicaraannya dalam kes rasuah lain dan pihak pendakwa sekali lagi mengenakan dakwaan.

Sebagai ganti bagi pengurangan hukuman, bekas setiausahanya yang juga penasihatnya Shula Zaken membawa ke mahkamah rakaman rahsia perbualannya dengan Olmert.

Olmert didengar bercakap tentang berpuluh-puluh ribu dolar yang diterimanya daripada seorang ahli perniagaan Morris Talansky ketika dia menjadi menteri perdagangan dan industri dalam awal 2000-an.

Hukuman penjara enam tahun dijatuhkan ke atas Olmert dalam bulan Mei tahun lalu adalah yang pertama ke atas bekas perdana menteri Israel bagi tuduhan rasuah.