Rasuah: Bekas presiden Honduras mengaku salah

Rasuah: Bekas presiden Honduras mengaku salah

NEW YORK, 29 Mac (AFP) – Bekas Presiden Honduras, Rafael Callejas mengaku bersalah atas tuduhan konspirasi meminta rasuah ratusan ribu berkaitan hak penyiaran membabitkan skandal bola sepak Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Callejas, 72, yang juga Ahli Jawatankuasa Pemasaran dan Televisyen FIFA, membuat pengakuan melakukan konspirasi dan penipuan itu di Mahkamah Persekutuan Brooklyn semalam.

Dia mengaku menerima bayaran AS$650,000, yang disalurkan dalam tempoh setahun untuk peranannya dalam sistem dipenuhi korupsi yang menyaksikan ratusan juta dolar dibayar secara haram sepanjang tempoh suku abad lalu.

Callejas berkata dia mengagihkan sejumlah wang yang diterimanya itu kepada delegasi Persekutuan Bola Sepak Honduras bagi membolehkan dia terus kekal sebagai presiden, jawatan yang disandangnya daripada tahun 2000 sehingga Ogos tahun lalu.

Callejas meninggalkan mahkamah Eastern District New York selepas mengaku bersalah apabila kesnya diperdengarkan kelmarin. – Reuters
Callejas meninggalkan mahkamah Eastern District New York selepas mengaku bersalah apabila kesnya diperdengarkan kelmarin. – Reuters

Dia yang menjadi Presiden Honduras antara 1990 hingga 1994, bakal mengetahui hukumannya pada 5 Ogos ini.

Hukuman bagi kesalahan ini adalah penjara sehingga 40 tahun. Callejas berkata, dia menyalahgunakan kedudukannya dalam badan induk bola sepak dunia itu dengan memberikan kontrak kepada Media World, sebuah syarikat pemasaran berpangkalan di Miami.

Syarikat berkenaan membuat pembayaran menerusi akaun di Amerika Syarikat kepada akaun asing Callejas dan rakan konspirasinya.

Sebagai balasan, Media World menerima hak pemasaran dan media pasukan bola sepak kebangsaan Russia bagi aksi kelayakan Piala Dunia di laman sendiri pada 2014, 2018 dan 2022.

ARTIKEL YANG SAMA