Rasuah: China siasat pegawai kanan sukan

Rasuah: China siasat pegawai kanan sukan

BEIJING, 26 Jun (AFP) – Agensi anti rasuah China, berkata mereka sedang menyiasat seorang timbalan ketua pentadbir sukan di negara itu atas tuduhan rasuah.

Ini kali pertama pegawai tertinggi di negara itu disiasat atas tuduhan seumpamanya yang membabitkan Timbalan Pengarah Pentadbiran Am Sukan (GAS) dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Olimpik China, Xiao Tian.

Xiao Tian disiasat kerana disyaki melakukan ‘pelanggaran serius disiplin dan undang-undang’, satu terma yang sering digunakan untuk kesalahan rasuah, kata Suruhanjaya Pusat Pemeriksaan Disiplin (CCDI) dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu juga, Xiao Tian sudah menjawat jawatan berkenaan sejak 2005 selain seorang bekas atlet pedang berjaya di China.

Laporan media tempatan, China News Service berkata isteri Xiao Tian, Tian Hua yang juga seorang daripada pegawai dalam organisasi terbabit, turut disiasat.

Berita Beijing News turut melaporkan CCDI dan pihak kerajaan sudah menghantar penyiasat ke GAS pada November serta mendapati terdapat banyak masalah termasuk dalam pemilihan atlet selain pengadil dalam pelbagai kejohanan.

Ia termasuk merasuah beberapa pegawai sukan dan pengadil pada Sukan Kebangsaan 2013. Xiao Tian adalah seorang daripada pegawai tertinggi yang mengendalikan Sukan Kebangsaan, katanya. Sejak November lalu, beberapa pegawai sukan turut disiasat terhadap tuduhan mengambil sogokan dan memanipulasi perlawanan, kata China News Service.

China pada 2009 melancarkan siasatan terhadap skandal rasuah dalam bola sepak yang membawa kepada penggantungan dan hukuman penjara selama 10 tahun kepada bekas Ketua Persatuan Bola Sepak China (CFA), Nan Yong pada 2013.

ARTIKEL YANG SAMA