Rasuah di BSP: 8 mengaku tidak bersalah

Rasuah di BSP: 8 mengaku tidak bersalah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Kesemua lapan pegawai dan kakitangan termasuk bekas kakitangan Syarikat Brunei Shell (BSP) yang berdepan dengan kesalahan rasuah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sedia ada dan tuduhan tambahan yang dibacakan secara berasingan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Di Mahkamah Tinggi, Bekas Penyelia Operasi Kanan BSP di Bahagian Operasi Pengeluaran (POP), Terminal Minyak Mentah Seria (SCOT), Awang Salehan bin Haji Marsal kini berdepan 59 pertuduhan dengan secara tidak jujur menerima wang suapan $280,000 antara April 2007 dan Januari 2009 sebagai ganjaran untuk meluluskan tuntutan pembelian dan menandatangani nota penghantaran bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk BSP.

Bekas Penjadual Daratan BSP di Bahagian Operasi Timur, Awang Muhammad Azam Zaki bin Haji Zain berdepan 28 pertuduhan menerima wang suapan berjumlah $61,400 sebagai ganjaran membuat tempahan kerja dan menandatangani nota penghantaran bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk BSP antara November 2007 dan Ogos 2009.

Sementara Bekas Sokongan Rangkaian Pembekalan di Pengurusan Rangkaian Pembekalan BSP (SCM), Dayang Aidah binti Tengah berdepan 20 pertuduhan kerana menerima sejumlah wang suapan berjumlah $200,200 antara Februari 2008 dan September 2009 untuk membuat pesanan pembelian bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk BSP.

Ikat jamin $20,000 atau dua orang penjamin tempatan bagi ketiga-tiga defendan dilanjutkan oleh Hakim Dato Paduka Steven Chong yang turut menetapkan 29 Ogos untuk sebutan tarikh perbicaraan.

pg01_150710_mahkamah logo

Awang Salehan dan Awang Muhammad Azam Zaki diwakili Peguam Ahmad Zakaria sementara Dayang Aidah diwakili Peguam Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abd Rahman.

Sementara di Mahkamah Majistret, Bekas Sokongan Rangkaian Pembekalan BSP di SCM, Hajah Latifah binti Junaidi kini berdepan 102 pertuduhan menerima wang suapan $508,58 untuk membuat pesanan pembelian pelbagai peralatan keselamatan kecemasan untuk BSP antara Oktober 2005 dan Januari 2009.

Bekas Sokongan Rangkaian Pembekalan (Seismik/Geomatik) di SCM, Hajah Asnah binti Haji Sairan pula berdepan 16 pertuduhan menerima wang $35,300 untuk membuat pesanan pembelian bagi barang-barang perindustrian untuk BSP antara Februari 2008 dan Mei 2009.

Penjaga Stor di Bahagian Sokongan, Pemindahan & Logistik BSP, Awang Mohd Faisal bin Haji Ismail berdepan 28 pertuduhan menerima wang $55,458 untuk membuat tempahan dan juga menandatangani nota penghantaran bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk BSP antara April 2007 dan Ogos 2009.

Sementara Pentadbir Kanan Platform Luar Pesisir di Operasi Barat (WOP), Awang Sabeli bin Ismail menghadapi 23 pertuduhan menerima wang dan baucar hamper berjumlah $72,485 sebagai ganjaran untuk memihak kepentingan Musfada Enterprise dan membuat tempahan kerja bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk BSP antara tahun 2006 dan Julai 2009.

Bekas Mandur Pengeluaran BSP di POP, SCOT, Awang Rosli bin Simon yang berdepan 14 pertuduhan menerima $84,700 untuk membuat permintaan dan mendatangani nota penghantaran bagi peralatan keselamatan kecemasan antara Oktober dan November 2005.

Dalam sebutan itu, Peguam Haji Mohd Rozaiman yang mewakili Awang Sabeli, Hajah Asnah dan Awang Mohd Faisal turut membuat permohonan kepada mahkamah bagi Awang Sabeli untuk mendapatkan kembali pasportnya yang ditahan bagi membolehkan anak guamnya itu ke luar negara berjumpa dengan isteri dan anak-anaknya.

Peguam Haji Mohd Rozaiman memberitahu mahkamah, pasport itu akan dikembalikan semula ke Biro Mencegah Rasuah sebaik anak guamnya kembali ke negara ini pada 1 Ogos.

Permohonan yang sama turut dibuat Peguam Ahmad Zakaria untuk salah seorang anak guamnya yang ingin ke luar negara pada 16 hingga 31 Julai 2015. Peguam Ahmad Zakaria mewakili Awang Rosli dan Hajah Latifah.

Majistret Pengiran Shahyzul membenarkan permohonan kedua-dua Peguam dan melanjutkan ikat jamin $10,000 atau dua orang penjamin tempatan untuk setiap defendan, dan menetapkan 20 Ogos untuk sebutan tarikh perbicaraan.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Pendakwa Raya Dato Seri Setia Davindher Singh dari Drew & Napier LLC, Singapura,

ARTIKEL YANG SAMA