Rasuah halang pembangunan

Rasuah halang pembangunan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Syarikat Mashhor Waste Management Sdn Bhd dengan kerjasama Biro Mencegah Rasuah (BMR), hari ini, telah mengadakan Taklimat Pendidikan Akta Pencegahan Rasuah bagi kakitangan pengurusan dan juga pegawai-pegawai di syarikat berkenaan.

Hadir di taklimat yang berlangsung di Pejabat Mashhor General Contractor Sdn Bhd, Light Industrial Lambak Kanan, ialah Ketua Pegawai Eksekutif Mashhor Waste Management Sdn Bhd, Malai Shamil Faris bin Malai Haji Hamid, Pengurus Keselamatan dan Alam Sekitar, Awang Rizal bin Haji Abdul Latif dan Pengarah Syarikat Syatulzah Sdn Bhd, Dayang Siti Rohaya binti Norudin.

Taklimat bertajuk ‘Peranan sektor swasta di dalam memerangi rasuah’ telah disampaikan oleh Penyiasat Kanan BMR, Haji Mohd Hisham bin Haji Sulaiman, yang antara lain menjelaskan bahawa rasuah merupakan penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi dan ia merupakan halangan terbesar kepada pembangunan ekonomi dan sosial di dunia.

Beliau menekankan bahawa rasuah tidak akan terjadi dengan hanya satu pihak, ia dilakukan oleh beberapa pihak yang lain sekali pemberi dan penerima untuk kepentingan peribadi mereka.

Malai Shamil Faris (kiri), Awang Rizal (tengah) dan Dayang Siti Rohaya (kanan) semasa hadir di taklimat pagi tadi.
Malai Shamil Faris (kiri), Awang Rizal (tengah) dan Dayang Siti Rohaya (kanan) semasa hadir di taklimat pagi tadi.
Haji Mohd Hisham semasa menyampaikan taklimat mengenai peranan sektor swasta dalam memerangi rasuah.
Haji Mohd Hisham semasa menyampaikan taklimat mengenai peranan sektor swasta dalam memerangi rasuah.

Dalam taklimatnya itu, Haji Mohd Hisham turut menyentuh mengenai beberapa contoh rasuah yang terjadi dalam sektor swasta, cara-cara dalam menangani rasuah di dalam sebuah organisasi dan denda-denda jika seseorang itu didapati melakukan rasuah.

Taklimat ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan yang lebih mendalam mengenai bahayanya rasuah dan tindakan yang akan diambil jika seorang individu itu didapati bersalah melakukan rasuah.