Rasuah hampir 1 juta bawa ke mahkamah

Rasuah hampir 1 juta bawa ke mahkamah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Bekas Pemangku Pengurus Kanan sebuah syarikat telekomunikasi tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas dua pertuduhan rasuah pada 2008.

Tiada pengakuan diambil daripada Zulkifli bin Haji Talip selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDSS Ustaz Haji Badaruddin.

Tertuduh ketika menjadi pemangku pengurus kanan syarikat tersebut didakwa secara tidak jujur cuba mendapatkan suapan untuk dirinya yang berbentuk komisen sebanyak lima peratus daripada nilai keseluruhan enam projek yang berharga $923,593.60 daripada Pengarah Urusan Syarikat Pea’s Sdn Bhd.

Ia kononnya sebagai upah kerana mengesahkan dan mencadangkan syarikat itu untuk mendapat projek tersebut.

pg06_160226_mahkamah logo

Zulkifli juga dituduh menerima rasuah $15,000 daripada pengarah urusan yang sama di mana jumlah ini adalah sebahagian daripada bayaran komisen lima peratus daripada nilai keseluruhan tujuh projek yang berharga $943,078.70 yang diberikan kepada syarikat itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada atau sekitar 3 Jun 2008 dan 25 September 2008 di mana kesalahan di bawah Seksyen 6(a) Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131 ini memperuntukkan denda $30,000 dan penjara tujuh tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Aldila binti Haji Mohd Salleh memohon mahkamah untuk sebutan ditangguhkan selama sebulan, antara lain bagi membolehkan peguam bela yang baru dilantik tertuduh iaitu Roy Prabhakaran untuk meneliti kes dokumen.

Majistret Kanan menetapkan 24 Mac untuk sebutan semula, dan membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin $10,000 atau dua orang penjamin tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA