Rasuah: Mahkamah arah dana dirampas

Rasuah: Mahkamah arah dana dirampas

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mengarahkan dana berjumlah lebih dari $850,000 milik seorang ahli perniagaan yang disabitkan atas pertuduhan rasuah untuk dirampas dan diserahkan kepada kerajaan.

David Chong yang juga Pengarah Urusan Musfada Enterprise didapati bersalah dan telah dikenakan hukuman penjara selama enam tahun dan empat bulan pada November 2013 kerana memberi rasuah kepada pekerja Syarikat Brunei Shell Petroleum (BSP).

Musfada Enterprise merupakan sebuah syarikat kontraktor yang terkemuka bagi BSP yang mana kes rasuah yang dihadapi syarikat itu telah disifatkan oleh mahkamah sebagai ‘sindiket rasuah berskala besar.’

Sepanjang prosiding dan siasatan yang dijalankan dari tahun 2009 hingga 2014, Biro Mencegah Rasuah telah pun merampas wang berjumlah $850,617.55 dari akaun tertuduh di negara ini. Sejumlah $600,000 lagi yang ada di dalam akaun bank tertuduh di luar negara juga berjaya dirampas pada November 2014 melalui permohonan perintah mendapat kembali faedah luar dan juga melalui bantuan bersama undang-undang antara Jabatan Peguam Negara Brunei Darussalam dan Singapura.

Wang termasuk dana yang dibekukan dari akaun peribadi tertuduh di negara ini dan juga dari Musfada Enterprise adalah dibentuk dari ‘harta tercemar’ di mana Hakim Dato Paduka Steven Chong telah mengarahkan jumlah wang itu termasuk faedahnya yang terkini diserahkan kepada kerajaan, dan dipindahkan kepada Dana Perampasan Aset Jenayah, yang diuruskan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan.

Di bawah Perintah Jenayah Pemulihan Aset 2012, perintah rampasan yang berasaskan bukan sabitan boleh digunakan untuk mendapatkan semula aset daripada seseorang tanpa perlu mendakwa atau mensabitkan orang itu bagi kesalahan, dengan syarat terdapat bukti bahawa harta itu ‘tercemar’.

Tertuduh diwakili Peguam Roy Prabhakaran manakala pendakwaan dibuat oleh Pengiran Jasmine binti Pengiran LKDR Pengiran Haji Bahrin.

ARTIKEL YANG SAMA