Rasuah: Modric disoal di Zagreb

Rasuah: Modric disoal di Zagreb

ZAGREB, 13 Julai – Pemain midfield Real Madrid Luka Modric telah disoal oleh pendakwa Croatia berhubung kes rasuah berjumlah berjuta-juta euro yang membabitkan bekas pegawai kanan Dinamo Zagreb, kata satu laporan semalam.

Modric yang tidak disyaki melaku sebarang kesalahan, telahpun disoal oleh pendakwa antirasuah (USKOK) di Zagreb pada September 2015 dan keterangannya dianggap kunci dalam kes tersebut.

Pada masa itu media tempatan melaporkan Modric disoal mengenai butir-butir kewangan perpindahannya pada 2008 ke Tottenham Hotspur. Dari sana dia menyertai Real Madrid.

Tidak ada butir-butir mengenai pertemuan terbaru dengan pendakwa yang berlangsung di ibu negara Croatia pada Isnin, kata akhbar Jutarnji.

Reaksi Modric selepas Portugal menjaringkan gol pada pusingan 16 terakhir di Lens, Perancis pada 25 Jun lalu. – AP
Reaksi Modric selepas Portugal menjaringkan gol pada pusingan 16 terakhir di Lens, Perancis pada 25 Jun lalu. – AP

Bekas bos Dinamo Zagreb Zdravko Mamic dianggap lelaki paling berpengaruh dalam bola sepak Croatia, dan abangnya Zoran, bekas jurulatih kelab, didakwa oleh USKOK pada April kerana menyalahguna kuasa dan rasuah.

Adik-beradik Mamic itu didakwa bersama salah seorang bekas pengarah kelab dan pemeriksa cukai. Kesalahan itu menelan kos 116 juta kunas (AS$17 juta) untuk juara Croatia itu.

Kebanyakan wang, lebih daripada 12 juta euro diperoleh oleh adik-beradik Mamic, menurut dakwaan.

Wang itu didakwa digelapkan menerusi urus niaga palsu berkaitan dengan perpindahan pemain. Zdravko Mamic berkali-kali berkata siasatan ke atasnya adalah bermotifkan politik. – AFP