Rasuah punca bola sepak Brazil merosot

Rasuah punca bola sepak Brazil merosot

RIO DE JANEIRO, 9 Julai (AFP) – Pemain hebat bola sepak Brazil Romario yang menjadi ahli politik berkata rasuah – bukan sahaja permainan hambar – perlu dipersalahkan apabila negara diaibkan pada Piala Dunia setahun yang lalu.

“Di atas padang diagnosis amat jelas. Pemain panik dan tiada keupayaan untuk bertindak balas,” kata Romario mengenai bencana tewas 7-1 dalam separuh akhir kepada Jerman yang kemudian menjuarai kejohanan di Brazil.

Bintang Piala Dunia ketika Brazil menang pada 1994 dan kini seorang senator, berkata pemain bagaimanapun bukan satu-satunya penyebab.

“Masalah lebih buruk lagi di luar padang: jaringan kompleks rasuah melibatkan CBF (badan pemerintah), kelab persekutuan, ejen, perniagaan pemasaran dan pengurus. Mereka memusnahkan bola sepak kita demi satu tujuan – untuk menjadi kaya,” tulis beliau di laman Facebook.

Setahun selepas dimalukan pada Piala Dunia di mana Brazil bukan sahaja tuan rumah tetapi berada di bawah tekanan besar untuk menang, pemimpin sukan negara gila bola sepak itu membahaskan bagaimana untuk membina semula pasukan.

Jurulatih Dunga telah memberi amaran bahawa jalan Brazil untuk kembali ‘mendominasi bola sepak dunia’ bukan sesuatu yang mudah atau dicapai dalam masa singkat.

ARTIKEL YANG SAMA