Rasuah: tiga warga tempatan ke mahkamah

Rasuah: tiga warga tempatan ke mahkamah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Dua kakitangan kerajaan dan seorang ahli perniagaan tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan rasuah.

Zamri bin Haji Jaludin dan Pengiran Haji Baharuddin bin Pengiran Haji Mohd Tahir, masing-masing merupakan Merinyu Perancang di Jabatan Perancang Bandar dan Desa berdepan dakwaan menerima wang tunai berjumlah $90 daripada Pengarah Eksekutif Maju Motors Sdn Bhd, Chan Key Hong.

Chan Key Hong pula didakwa dengan secara tidak jujur memberikan wang $90 itu kepada Zamri dan Pengiran Haji Baharuddin.

Wang itu adalah sebagai dorongan untuk tidak meneruskan pemeriksaan secara teliti terhadap Maju Motors Sdn Bhd bagi tujuan memperbaharui sijil bengkel syarikat tersebut, menurut kenyataan Biro Mencegah Rasuah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Maju Motors Sdn Bhd, pada 30 Ogos 2011.

Dalam sebutan, tiada pengakuan diambil daripada ketiga-tiga defendan.

Ketua Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli membenarkan defendan dilepaskan dengan ikat jamin $10,000 atau dua orang penjamin tempatan untuk setiap seorang, dan menetapkan 25 Mei untuk sebutan semula.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Zuraidah binti Haji Sidek.

ARTIKEL YANG SAMA