Rasuah wajib ditangani secara bersungguh – Sultan Nazrin Shah

Rasuah wajib ditangani secara bersungguh – Sultan Nazrin Shah

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah rasuah wajib ditangani dengan kesungguhan oleh pelbagai agensi yang bertanggungjawab tanpa gentar dan pilih kasih.

Baginda bertitah, kegagalan memerangi dan membanteras rasuah secara serius serta komited, dikhuatiri berpotensi melumpuhkan negara dan rakyat secara keseluruhannya.

“Rasuah merupakan barah yang dikatakan sedang merebak dalam negara, rasuah bagaikan anai-anai yang sedang membusut besar dan semakin mereputkan tonggak-tonggak utama negara.

“Salah laku rasuah hendaklah dilaporkan tanpa memihak, tanpa gentar, tanpa berat sebelah kerana rasuah ialah rasuah walau siapa yang melakukannya,” titah baginda pada Majlis Anugerah Bisnes Utusan 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bonda Perdana Menteri Tun Rahah Mohammad Noah dan Pengerusi Kumpulan Utusan, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh.

Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan anugerah Sepanjang Hayat kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman bersempena Anugerah Bisnes Utusan 2015. - Bernama
Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan anugerah Sepanjang Hayat kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman bersempena Anugerah Bisnes Utusan 2015. – Bernama

Justeru, baginda mahu Kumpulan Utusan aktif membantu membina sebuah pentadbiran dan negara bangsa yang sifar rasuah.

Titah baginda semua warga harus diasuh dengan budaya benci rasuah dan menolak pemimpin yang melakukannya, serta dididik untuk memandang rasuah sebagai budaya yang jijik dan negatif.

“Memerangi rasuah hendaklah dijadikan perjuangan, satu jihad kerana menjadi tanggungjawab fardu kifayah dan tanggungjawab kenegaraan untuk setiap warga memelihara negara daripada terjerumus ke lembah kehinaan,” titah baginda.

ARTIKEL YANG SAMA