Rasuah: Wanita kena 5 tahun

Rasuah: Wanita kena 5 tahun

pg06_160805_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Bekas pekerja Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Dayang Aidah binti Tengah, hari ini dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi, Bandar Seri Begawan.

Dayang Aidah binti Tengah, yang berjawatan Supply Chain Support di Jabatan Supply Chain Management di BSP, dijatuhkan hukuman penjara bagi 15 pertuduhan di bawah Bab 6 (a) Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131) dan sebanyak lima lagi pertuduhan di bawah akta yang sama telah diambil pertimbangan (TIC-taken into consideration) setelah tujuh orang saksi dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan dijalankan.

Beliau telah mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato Paduka Steven Chong bagi semua pertuduhan itu pada 27 Julai 2016 lalu.

Hasil siasatan Biro Mencegah Rasuah mendapati bahawa beliau mengaku bersalah menerima rasuah dari Februari 2008 sehingga November 2009 berjumlah $200,200 daripada Pengurus Syarikat Musfada Enterprise, David Chong sebagai ganjaran untuk membuat pesanan dan mempercepatkan ‘purchase order’ bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk syarikat minyak tersebut yang mana pembelian itu berhubung kait dengan kontrak syarikat dengan syarikat tempat beliau bekerja.

Hakim Dato Paduka Steven Chong menyatakan adalah tanggungjawab mahkamah untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai yang diamanahkan dengan sesuatu jawatan di dalam mana-mana badan awam, bahawa hukuman berat akan dikenakan jika mereka membenarkan ketamakan peribadi mengaburi tanggungjawab dan akauntabiliti mereka.

Hakim Dato Paduka Steven Chong telah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara bagi setiap pertuduhan yang mana hukuman dijalankan secara serentak berkuat kuasa 27 Julai 2016. Di samping itu, mahkamah juga mengarahkan tertuduh untuk membayar denda sebanyak $200,200 dalam tempoh tiga bulan dan jika gagal, tertuduh dikenakan hukuman penjara tambahan selama enam bulan. Mahkamah juga mengarahkan tertuduh untuk membayar kos pendakwaan sebanyak $120,000 dalam tempoh tiga bulan dan jika gagal, tertuduh dikenakan hukuman penjara tambahan selama tiga bulan.

Pihak pendakwaan telah diketuai oleh Dato Seri Setia Davindher Singh bersama-sama pegawai-pegawai dari Pejabat Peguam Negara.

ARTIKEL YANG SAMA