Ratu Elizabeth II, Agong, Presiden S’pura utus tahniah

Ratu Elizabeth II, Agong, Presiden S’pura utus tahniah

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Baginda Ratu Elizabeth II berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-69 esok.

Turut menghantar perutusan tahniah kepada Baginda ialah Yang Di-Pertuan Agong Malaysia, Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlisah.Dalam perutusan tersebut, Yang Di-Pertuan Agong berdoa semoga Baginda Sultan dilanjutkan usia dan sentiasa dipelihara Allah Subhanahu Wataala hendaknya supaya terus memerintah Negara Brunei Darussalam.

“Sesungguhnya Paduka Kekanda amat bersyukur dengan keakraban hubungan Malaysia dan Brunei. Paduka Kekanda berharap agar hubungan istimewa yang terjalin sekian lama ini akan bertambah kukuh dan terus berkekalan hendaknya.

“Di kesempatan ini Paduka Kekanda dan Paduka Kekanda Raja Permaisuri AgongTuanku Hajah Haminah turut melafazkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Paduka Seri Adinda serta Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan seluruh kerabat diraja dan rakyat Negara Brunei Darussalam,” titah Yang Di-Pertuan Agong.

Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Tony Tan Keng Yam juga telah menyembahkan ucapan tahniah kehadapan Majlis Ke bawah Duli Yang Maha Mulia bersempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-69.

Dalam sembah perutusan itu, Dr Tony Tan berkata, Brunei telah menempa kemajuan yang sungguh bermakna berkat kepimpinan bijaksana dan berwawasan Baginda di mana rakyatnya telah menikmati taraf hidup yang tinggi serta menyerlah daripada segi keselamatan dan keamanan.

“Singapura dan Brunei berkongsi persahabatan yang rapat sejak sekian lama yang berteraskan saling hormat-menghormati dan saya yakin perkongsian ini akan terus berkembang pada masa-masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak turut menyembahkan perutusan tahniah kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta menzahirkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wataala atas keakraban hubungan Malaysia dan Brunei serta berharap tali persaudaraan itu akan terus diperkukuhkan.

Beliau berdoa Kehadrat Allah Subhanahu Wataala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia dilanjutkan usia dan sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera serta dilimpahi kemakmuran berpanjangan. Sesungguhnya berkat kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Negara Brunei Darussalam telah mencapai kemajuan dan kemakmuran, sembah Datuk Seri Mohd Najib.

Turut menyembahkan ucapan tahniah kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang menyatakan bahawa di bawah kepimpinan Baginda Sultan yang teguh dan berwibawa, Brunei telah menikmati kestabilan, keamanan dan kemakmuran.

Menurutnya, Baginda Sultan juga menjadi penggerak kepada kemantapan hubungan antara Brunei dan Singapura, malah Singapura berbangga mengaku Brunei sebagai sahabat istimewa. Sementara itu Menteri Kanan Emiritus Singapura, Goh Chok Tong turut menyembahkan ucapan tahniah kehadapan majlis Baginda Sultan sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-69 ini.

ARTIKEL YANG SAMA