Ratusan anak damit korban konflik Yaman

Ratusan anak damit korban konflik Yaman

PERTUBUHAN BANGSA BERSATU, 30 Mac (Bernama) – Lebih 900 kanak-kanak terbunuh manakala 1,300 lagi cedera pada 2015, kesan daripada konflik di Yaman, memetik laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lapor agensi berita China, Xinhua pada Selasa.

“UNICEF mengesahkan lebih 1,560 insiden kegasanan menyedihkan terhadap kanak-kanak berlaku di Yaman.

Purata enam kanak-kanak terbunuh atau menjadi cacat setiap hari sejak Mac 2015 meningkat tujuh kali ganda berbanding 2014,” kata UNICEF.

Menurut laporan itu kebanyakan insiden pembunuhan dan kecacatan berlaku adalah di Taiz, Sanaa, Saada, Aden dan Hajjah iaitu di kawasan berlakunya kekerasan dan pertempuran dasyat.

Pendatang Ethiopia berteduh di sebuah khemah di kem Obock UNHR selepas meninggalkan Yaman pada 26 Mac lalu. – AFP
Pendatang Ethiopia berteduh di sebuah khemah di kem Obock UNHR selepas meninggalkan Yaman pada 26 Mac lalu. – AFP

Keadaan keselamatan di negara itu kian buruk sejak Mac 2015, apabila kumpulan Daesh juga dikenali Islamic State (IS) menyerang buat pertama kalinya di Yaman dan serangan yang dilancarkan tentera bersekutu diterajui Arab Saudi mensasarkan puak pemberontak di Houthi.

Dianggarkan seramai 21.2 juta orang iaitu 82 peratus daripada jumlah keseluruh penduduk terjejas akibat keganasan peperangan itu, mereka yang terjejas memerlukan bantuan kemanusiaan dan separuh daripadanya ialah kanak-kanak, kata UNICEF.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengesahkan penyalahgunaan kanak-kanak yang direkrut untuk berperang meningkat sejak perang tercetus.