Ratusan dijangka sertai Maraton

Ratusan dijangka sertai Maraton

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Lebih 200 orang dijangka menyertai Separa Maraton sempena Ulang Tahun Ke-54 Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang akan diadakan pada 11 Oktober 2015.

Sehubungan itu, satu taklimat bagi peserta berlangsung hari ini di Pusat Optima Kecergasan Tentera dan dikendalikan oleh Ketua Pengurusan Sukan ABDB, Mejar Sopian bin Haji Mohd Yassin, selaku Pengerusi kejohanan.

Katanya, Separa Maraton itu dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu 21 Kilometer, 10 Kilometer dan Lima Kilometer yang masing-masing dibahagikan kepada acara Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Lelaki Veteran dan Wanita Veteran.

Menurutnya, perlumbaan bagi semua kategori akan bermula dan tamat di Mini Stadium, Bolkiah Garison dan semua peserta dikehendaki hadir seawal pukul 5 pagi untuk melaporkan diri sehingga pukul 5.45 pagi, diikuti sejurus kemudian dengan sesi memanaskan badan bagi pelumba 21 Kilometer dan 10 Kilometer.

Mejar Sopian (kanan) menyampaikan taklimat kepada para peserta maraton.
Mejar Sopian (kanan) menyampaikan taklimat kepada para peserta maraton.

Perlumbaan bagi acara 21 Kilometer lelaki dan wanita akan bermula pada pukul 6 pagi, manakala perlumbaan bagi acara 10 Kilometer lelaki dan wanita akan dimulakan pada pukul 6.15 pagi.

Acara perlumbaan bagi lima kilometer lelaki dan wanita akan dimulakan pada pukul 6.30 pagi dan penyampaian hadiah akan diadakan di Gimnasium ABDB pada kira-kira pukul 10 pagi.

Mejar Sopian menjelaskan hadiah bagi Kategori 21 Kilometer ialah $300 bagi juara, $200 bagi naib juara dan $100 bagi pemenang tempat ketiga, manakala pemenang tempat keempat hingga ke-10 akan menerima baucar hadiah.

Peta laluan peserta Separa Maraton ABDB bagi Kategori 21 Kilometer.
Peta laluan peserta Separa Maraton ABDB bagi Kategori 21 Kilometer.

Sementara dalam Kategori Perlumbaan 10 Kilometer ialah $150 bagi juara, $100 bagi naib juara dan $50 bagi pemenang tempat ketiga, manakala pemenang tempat keempat hingga ke-10 akan menerima baucar hadiah.

Manakala bagi Kategori Lima Kilometer ialah $75 bagi juara, $50 bagi naib juara dan $30 bagi pemenang tempat ketiga, manakala pemenang tempat keempat hingga ke-10 akan menerima baucar hadiah.

Pihak penganjur masih lagi membuka pendaftaran sehingga esok (10 Oktober 2015) dan mereka yang ingin mendapatkan borang pendaftaran dan maklumat lanjut mengenai perlumbaan itu boleh menghantarkan alamat e-mel mereka ke talian 8982066 (Mejar Sopian) atau menghubungi terus urus setia perlumbaan di talian 2315110.