Ratusan dipindah, kebakaran makin mengganas

Ratusan dipindah, kebakaran makin mengganas

HAIFA, Israel, 24 Nov – Ratusan warga Israel berpindah dari rumah mereka di pinggir bandar ketiga negara itu, Haifa hari ini dengan yang lain terperangkap di dalam kediaman mereka ketika pihak bomba bergelut untuk mengawal kebakaran belukar yang semakin marak.

Tentera mengerahkan askar simpanan dan hospital-hospital di bandar pelabuhan Mediterranean untuk mengumumkan darurat kerana bimbang kebakaran dahulu pada 2010 berulang kembali yang membunuh 44 orang – insiden paling maut dalam sejarah Israel.

“Kami memindahkan tiga kawasan kejiranan dan ada juga mereka yang masih terperangkap,” kata jurucakap jabatan kebakaran, Kayed Daher.

“Api masih lagi menyala dan kebakaran itu sedang menghampiri stesen gas.”

Api marak sehingga 10 meter (lebih daripada 30 kaki) tinggi telah mengancam blok menara beberapa tingkat di salah satu sub bandar Haifa, lapor jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian.

Salah seorang penduduk Israel cuba untuk memadamkan kebakaran belukar dari bumbung bangunan di bandar Haifa pada 24 November. – AFP
Salah seorang penduduk Israel cuba untuk memadamkan kebakaran belukar dari bumbung bangunan di bandar Haifa pada 24 November. – AFP

Universiti Haifa telah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Di kawasan kejiranan Carmel yang mewah, para penduduk terdesak untuk mengeluarkan penduduk warga emas di kawasan tersebut.

“Kebakaran itu tidak dapat dikawal dan merebak dari sebuah rumah ke rumah lain,” kata ketua perkhidmatan penyelamat kejiranan, Naftali Rottenberg memberitahu radio awam.

“Kebakaran itu mara 20 hingga 30 meter dalam masa beberapa minit. Kadang-kadang kami terpaksa membawa penduduk keluar walaupun tanpa kehendak mereka.”

Skala kebakaran itu mencetuskan beberapa buah negara seperti Crotia, Cyprus, Greece, Itali, Rusia dan Turki menghantar bantuan, termasuk pesawat pemadam kebakaran. – AFP