Ratusan dipindahkan akibat ancaman banjir

Ratusan dipindahkan akibat ancaman banjir

AUSTIN, Texas, 28 Mei (AFP) – Beratus-ratus orang diarah mengosongkan kawasan Texas yang diancam banjir, hari ini ketika hujan lebat melanda negeri itu, yang mana sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam kejadian berkaitan cuaca minggu ini, termasuklah enam orang di Houston.

Mereka diarah supaya menjauhi lebih 200 buah rumah di Wilayah Parker, tempat terletaknya Sungai Brazos yang dijangka airnya melimpah keluar daripada tebingnya kira-kira 50 km barat Forth Worth pada malam semalam, menurut pegawai wilayah itu.

“Air sungai pantas naik dan mengalir pada jumlah berbahaya, Hakim Wilayah Parker Mark Riley memberitahu sidang media, dengan menambah kata tempat perlindungan disediakan.

Angka kematian di Texas dijangka meningkat, dengan kira-kira dua belas orang masih hilang dan lebih banyak ribut petir yang melanda bandar-bandar Houston dan Austin yang telah pun dilanda banjir.

Di Wilayah Hays sahaja, sembilan orang dilaporkan hilang selepas air banjir pada Isnin lalu menghanyutkan rumah dari asasnya. Tiga orang di wilayah itu, kira-kira 50km barat daya Austin, telah pun disahkan terkorban.

Kira-kira tiga orang tercedera semalam apabila puting beliung melanda pelantar penggerudian gas asli dekat bandar Kanada, Texas, menurut syerif Wilayah Hemphill. Kembalinya hujan lebat menghalang usaha penyelamatan kecemasan di seluruh negara.

“Air sungai akan mula naik lagi,” kata Kharley Smith, penyelaras Pengurusan Kecemasan Wilayah Hays. “Ia akan mengalihkan timbunan serpihan-serpihan sebelumnya.”

Banjir telah merosakkan kira-kira 4,000 struktur dan melambatkan pengangkutan di Houston, bandar keempat AS yang paling banyak penduduk, yang mana lebih seribu buah kenderaan terperangkap dalam air.

Mayat mangsa terbaru di Houston, seorang lelaki berusia 31 tahun, ditemui dekat sebuah kenderaan yang tenggelam, menurut institusi Sains Forensik Wilayah Harris.