Ratusan dipindahkan dari Syria yang dikepung

Ratusan dipindahkan dari Syria yang dikepung

BEIRUT, 28 Dis – Beberapa buah bas telah memindahkan ratusan pejuang dan orang awam dari dua buah kawasan yang dikepung di Syria hari ini di bawah satu perjanjian antara parti-parti berperang yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata pekerja bantuan dan sumber yang rapat dengan perjanjian itu.

Sekitar 130 pejuang pemberontak, yang kebanyakan cedera, meninggalkan bandar Zabadani menuju ke sempadan Lubnan yang berhampiran pada masa yang sama seramai 350 pejuang dan orang awam dari bandar Syiah yang dikepung prokerajaan di barat laut Syria menuju ke sempadan Turki.

Di bawah perjanjian itu, para pejuang dari kumpulan Islam Ahrar al-Sham dan puak pemberontak Syria tempatan lain bersembunyi di Zabadani selama berbulan-bulan telah dijanjikan laluan selamat ke lapangan terbang Beirut dan kemudian ke Turki.

Pada masa yang sama juga, ahli keluarga dan para pejuang di kedua-dua bandar Syiah yang dikepung di wilayah barat laut Idlib yang ditawan pemberontak telah menuju ke Turki dan dijangka terbang ke Beirut.

Para pekerja bantuan dan pejuang pemberontak membantu membawa beberapa remaja lelaki dalam kerusi roda masuk ke dalam ambulans di medan Zabadani, menurut seorang saksi kepada Reuters.

Kanak-kanak perempuan menunjukkan kertas dengan tulisan ketika mereka menunggu di sempadan menyeberang antara Lubnan dan Syria bagi menunggu ketibaan saudara mereka, di bandar Zabadani pada 28 Disember. – Reuters
Kanak-kanak perempuan menunjukkan kertas dengan tulisan ketika mereka menunggu di sempadan menyeberang antara Lubnan dan Syria bagi menunggu ketibaan saudara mereka, di bandar Zabadani pada 28 Disember. – Reuters

Bandar barat laut Damsyik yang dulunya popular sebagai sebuah bandar peranginan, merupakan salah satu kubu kuat terakhir pemberontak di sepanjang sempadan. Sebelum letusan konflik Syria 2011, ia juga telah membentuk sebahagian daripada laluan bekalan senjata yang dihantar oleh Syria ke kumpulan militan Syiah Lubnan, Hizbullah.

Kebanyakan bandar itu telah musnah dalam serangan besar-besaran yang dilancarkan oleh tentera Syria dan sekutu Hizbullah ke atas pemberontak pada Julai. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA