Ratusan ditempatkan di pusat pemindahan

Ratusan ditempatkan di pusat pemindahan

RANAU, 17 Jun (Bernama) – Seramai 930 orang membabitkan 366 keluarga masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan berikutan kejadian banjir lumpur di Sungai Masilau, Kundasang dan Sungai Liwagu di sini.

Kejadian itu turut menyebabkan tujuh rumah di Masilau mengalami kerosakan iaitu sebuah rumah jatuh di tebing sungai, sebuah lagi hampir terjatuh di tebing sungai dan lima lagi diancam gelinciran tebing sungai.

Pegawai Daerah Ranau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Faimin Kimin berkata penduduk 11 kampung itu dipindahkan di pusat pemindahan berkenaan sejak Isnin lepas atas faktor keselamatan dan bagi memudahkan penyaluran bantuan khususnya makanan.

Katanya banjir lumpur itu membawa serpihan kayu balak membahayakan penduduk kampung yang tinggal di tebing kedua-dua sungai itu dan ada penduduk kampung di Masilau dipindahkan disebabkan terputus hubungan akibat dua jambatan merentangi Sungai Masilau, rosak.

Daripada jumlah itu, 245 membabitkan 224 keluarga yang ditempatkan di Dewan Mini Kundasang, 522 orang membabitkan 101 keluarga di Dewan Masyarakat Ranau dan 163 orang daripada 41 keluarga di Dewan Serbaguna Marakau.