Ratusan keluarga telah dibantu

Ratusan keluarga telah dibantu

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 3 Ogos – Jabatan Daerah Belait, setakat ini telah membantu 137 buah keluarga untuk dipindahkan ke berek kediaman sementara kerajaan di Daerah Belait, yang terdiri daripada bantuan pemindahan penduduk dari kawasan setinggan dan permohonan daripada orang awam di sini.

Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman ketika ditemui menjelaskan, jabatannya setakat ini mencatatkan sejumlah 349 orang yang memohon berek dan daripada jumlah tersebut kira-kira 212 yang belum dibantu setakat ini.

Menurutnya daripada jumlah 212 itu, seramai 100 keluarga adalah pemohon bagi pemindahan dari kawasan setinggan dan selebihnya sejumlah 112 adalah permohonan orang awam.

Beliau berkata, sejak 2012, Jabatan Daerah Belait, mula mengumpulkan data bagi penghuni yang tinggal di kawasan setinggan dan telah dikenal pasti terdapat juga antara penghuninya terdiri daripada rakyat yang memegang kad pengenalan kuning tetapi kebanyakannya pemegang kad pengenalan berwarna Ungu dan Hijau.

Tambah beliau, isu setinggan sudah lama dan pernah juga diusahakan oleh pegawai-pegawai daerah sebelumnya tetapi belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

Berek kerajaan yang terdapat di Daerah Belait bukan semuanya di bawah kawalan Jabatan Daerah Belait tetapi juga di bawah kawalan jabatan-jabatan lainnya.
Berek kerajaan yang terdapat di Daerah Belait bukan semuanya di bawah kawalan Jabatan Daerah Belait tetapi juga di bawah kawalan jabatan-jabatan lainnya.

“Bagaimanapun, setelah didapati terdapatnya juga dalam kalangan penghuni di kawasan setinggan adalah juga rakyat negara ini, pada tahun 2012 semasa saya ditugaskan di daerah ini, jabatan ini telah mula membuat catatan data dan dalam masa yang sama kami mengenal pasti berek-berek yang kosong dan cadangan pemindahan penghuni setinggan ke berek yang tidak berpenghuni, telah dihadapkan kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan kemudiannya telah diluluskan,” katanya.

Sejak itu pemindahan penduduk setinggan telah dilakukan secara berperingkat-peringkat setelah berek-berek tersebut siap diperbaiki. Jabatan Daerah Belait juga telah membuat perundingan dengan beberapa agensi kerajaan lainnya seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Brunei, dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk memusnahkan setiap rumah setinggan dengan segera setelah penghuninya dipindahkan supaya tiada lagi kes didiami oleh penghuni yang lain.

Menurut Haji Haris, 47 buah keluarga yang dikenal pasti telah dipindahkan. Keutamaan diberikan kepada aspek keperluan pemohon berkenaan, terutamanya yang terlalu sakit, orang yang susah, rumah hampir roboh dan juga sokongan daripada pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Kesihatan. Golongan ini didahulukan dan sejumlah 100 keluarga lagi yang belum dibantu.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, orang awam juga turut membuat permohonan, dan mereka juga dibantu melalui penggunaan sistem kiraan mata, iaitu mendahulukan mereka yang memerlukan bantuan segera, seperti mangsa rumah terbakar, mangsa banjir, tanah susur, masalah sekeluarga terpaksa tidur di ruang bilik tamu, kompleks keluarga, kes tinggal dalam kereta, tinggal dalam hutan, mualaf yang tinggal dengan orang bukan Islam, orang yang menumpang mengikut ihsan orang dan sebagainya, selain juga sokongan daripada JAPEM.

“Terdapat lebih 20 mata diambil kira mengikut keperluan para pemohon dan semakin tinggi mata melalui penilaian keperluan mereka, dan itulah yang didahulukan, semua dinilai berasaskan sejauh mana keperluan pemohon, dan bukannya pilih kasih,” jelas Haji Haris.

Bagaimanapun permohonan daripada orang awam adalah semakin bertambah, dan kemudahan berek pula tidak mencukupi kerana bukan semua berek yang ada di daerah ini di bawah kendalian Jabatan Daerah Belait sahaja, tetapi juga di bawah kawalan jabatan-jabatan lainnya.

Tambahnya lagi, pengurusan perumahan berek kerajaan, sudah dititipkan amanahnya kepada Jabatan Daerah sebelum negara merdeka lagi, tetapi adalah khas untuk kakitangan kerajaan sahaja. Oleh itu flat dan berek-berek kerajaan yang ada adalah lebih diutamakan untuk diberikan kepada pemohon pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan, dan bukanlah untuk orang awam.

Bagaimanapun memandangkan berbangkitnya isu-isu seperti setinggan dan orang awam yang amat memerlukan tempat tinggal, maka pihak kerajaan telah mempertimbangkan untuk berek dihuni sementara oleh pemohon terdiri daripada orang awam yang dikenal pasti benar-benar memerlukan.

Setakat ini terdapat 184 unit berek yang belum berpenghuni tapi keutamaan diberikan kepada kakitangan jabatan kerajaan yang memohon.

Jumlah berek ini adalah tidak mencukupi untuk menampung kesemua pemohon yang ada dan kira-kira dua puluh lapan unit berek lagi diperlukan.

Menurut Haji Haris, sejumlah 19 keluarga pada masa ini sudah disenaraikan sebagai pemohon yang disokong dan mereka adalah daripada sejumlah 212 permohonan, dan pemindahan akan segera dilakukan setelah berek-berek kosong itu siap pembaik pulih.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa kecewa dengan kes-kes orang awam memecah masuk tinggal di berek yang tidak berpenghuni, tanpa kebenaran yang sah.

Katanya, Jabatan Daerah Belait telah mengirimkan surat mengarahkan untuk berek berkenaan dikosongkan selain bertindak memutuskan bekalan air dan elektrik serta menukar kunci pintu berek terbabit.

Sehubungan itu beliau menasihatkan mereka yang berkenaan supaya mengemukakan permohonan mengikut cara yang betul. Sementara mereka yang sudah mendapat tempat tinggal yang lain seperti Perumahan Negara dan sebagainya hendaklah segera mengosongkan berek mereka supaya ia dapat diberikan kepada pemohon lain yang memerlukannya.