Ratusan pelancong terkandas akibat salji

Ratusan pelancong terkandas akibat salji

PESHAWAR, Pakistan, 26 Okt (AFP) – Beratus pelancong terkandas hari ini selepas salji paling awal yang turun dalam 40 tahun menyekat sebatang lebuh raya utama di kawasan utara Pakistan, menurunkan salji setebal tiga kaki di sebuah bandar dalam kurang 24 jam.

Pihak berkuasa menhantar jentera besar serta tentera dan pekerja menyelamat untuk membersihkan jalan raya di Lembah Naran di daerah Mansehra.

Penduduk Pakistan yang bercuti pada hujung minggu untuk Ashura dalam bulan suci Moharram berkunjung ke kawasan itu, popular dengan kecantikan semula jadinya, apabila mereka terperangkap dalam salji yang turun berkenaan.

“Lebih daripada 1,200 orang setakat ini telah dipindahkan tetapi kira-kira 800 hingga 1,000 orang masih terkandas di sana dan kerja-kerja menyelamat sedang diteruskan,” beritahu Najeeb Ur Rehman, pegawai kanan polis di daerah Mansehra, kepada AFP.

Pegawai berkata bandar Naran adalah yang paling teruk terjejas, menerima salji sedalam lebih daripada tiga kaki sejak awal Ahad.

Seorang pelombong arang batu terbunuh pada Ahad apabila sebuah lombong runtuh disebabkan gelinciran glasier di kawasan Babusar, kira-kira 40 kilometer dari Naran.

Pihak berkuasa menyelamat 15 pelombong arang batu yang terperangkap oleh runtuhan itu, kata Rehman.

Salji yang turun juga merosakkan talian elektrik dan beberapa jambatan kecil.

Rehman berkata keutamaan pertama adalah memindahkan pemandu yang terkandas di jalan raya oleh salji, dan pihak berkuasa akan menumpu pada pemindahan pelancong yang terperangkap dalam hotel mereka.

Salji pertama biasanya tidak melanda kawasan utara Pakistan sehingga awal Disember, dengan pegawai berkata ia adalah salji paling awal yang turun dalam 40 tahun.

ARTIKEL YANG SAMA