Ratusan penduduk turun derma darah

Ratusan penduduk turun derma darah

PARIS, 15 Nov (Agensi) – Ratusan penduduk tempatan hari ini tampil menderma darah bagi membantu pihak hospital yang sedang bergelut menghadapi gelombang serangan keganasan di bandar raya itu malam tadi.

Dengan semangat perpaduan dan simpati, mereka beratur membentuk barisan panjang di pusat derma berdekatan bar La Carillon yang mengorbankan nyawa 14 pengunjung akibat ditembak mati lelaki bersenjata di satu daripada enam lokasi serangan di ibu negara Perancis itu.

Seawal jam lapan pagi waktu tempatan, beberapa sukarelawan yang kali pertama menderma darah dilihat mahu berbuat demikian untuk membantu mangsa yang cedera dan sedang dirawat di beberapa hospital.

Kakitangan pasukan kecemasan amat terharu dan menghargai sokongan seumpama itu apatah lagi dalam tempoh kurang daripada 12 jam selepas pembunuhan beramai-ramai itu.

Penderma, William Haddad, 29, yang tinggal 500 meter dari lokasi bar itu berkata, dia turut menyaksikan kejadian meragut banyak nyawa berkenaan dan mangsa yang cedera sememangnya memerlukan bantuan.

“Kita perlu membantu dan membuat semangat kekitaan. Kita harus sentiasa bersama-sama dan kuat selain berjuang dengan segala yang kita ada termasuk menggunakan darah dan tubuh,” katanya. Bagi penganjur program derma darah di Etablissement Francais du Sang, kebiasaannya hanya 40 penderma hadir sebelumnya namun jumlah itu mencecah ratusan hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA