Ratusan tayar hangus

Ratusan tayar hangus

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 30 Mac – Beratus-ratus tayar lama terbakar dalam kejadian kebakaran di tapak pembuangan sampah dan barang terpakai akibat daripada kebakaran hutan berdekatan, yang telah menyebabkan kepulan asap tebal menyelubungi kawasan Anduki, di sini.

Laporan kebakaran itu diterima sekitar jam 2:43 petang kelmarin, di mana 10 orang anggota bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian di mana mereka bertungkus lumus mengawal kebakaran hingga jam 10 malam.

Anggota bomba juga berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tempat tinggal para pekerja di kawasan tersebut.

Menurut Pegawai Pemerintah Bomba dan Penyelamat Daerah Belait cawangan B, Awang Muhd ​​Shareeni bin Haji Mohd Yusof, kesemua 10 orang anggota yang terlibat dalam menangani kebakaran itu memakai topeng khas untuk mengurangkan kesan-kesan bahaya toksik dan kimia yang berpunca dari asap tersebut.

Tayar-tayar lama dijilat api berpunca daripada kebakaran hutan berdekatan.
Tayar-tayar lama dijilat api berpunca daripada kebakaran hutan berdekatan.

Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Haji Shaharuddin bin Haji Anuar yang berada di tempat kejadian menjelaskan, tahap bahaya kesan kimia dan toksik yang dikeluarkan oleh tayar-tayar tersebut boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius jika terhidu namun bersyukur kerana ia terjadi di kawasan yang jauh dari mana-mana tempat tinggal orang awam.

“Mana-mana tayar terpakai yang tidak digunakan lagi harus disimpan di tempat yang berasingan, dilupuskan di tapak pembuangan JASTRe di mana ia akan dibawa ke tapak pembuangan tayar JASTRe di Bukit Udal, Tutong,” jelasnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA