Raul bersara November depan

Raul bersara November depan

MADRID, 16 Okt (Reuters) – Bekas pemain hadapan Real Madrid, Raul, penghasil gol Sepanyol, akan bersara pada November depan selepas karier selama 21 tahun dalam bola sepak.

Raul, yang kini bermain dengan New York Cosmos, meraih beberapa trofi ketika bersama Bernabeu, termasuk tiga mahkota Liga Juara-Juara dan kejuaraan La Liga.

Pemain berusia 38 tahun itu akan bersara menjelang akhir musim Liga Bola Sepak Amerika Utara (NASL) selepas mula bermain pada April untuk Cosmos yang bermain dalam Major League Soccer.

“Apabila saya menandatangani bagi New York Cosmos pada Disember, saya berkata akan menilai bagaimana saya rasakan ke arah akhir tahun dan membuat penilaian sama ada saya akan terus bermain,” kata Raul dalam satu kenyataan.

“Keputusan saya ialah untuk bersara pada akhir musim ini. Saya fokus sepenuhnya untuk menghabiskan musim dengan bersemangat dan membantu New York Cosmos memenangi Kejohanan NASL. Pada bulan mendatang saya akan memutuskan langkah seterusnya dalam karier saya.”

Gambar fail menunjukkan Raul ketika beraksi untuk Real Madrid. – Agensi
Gambar fail menunjukkan Raul ketika beraksi untuk Real Madrid. – Agensi

Raul, yang berkongsi rekod menghasilkan gol Real dengan Cristiano Ronaldo, menyumbat gol sebanyak 323 kali dalam 741 perlawanan, juga berkhidmat sebagai penasihat teknikal bagi akademi remaja Cosmos dan dijangka mengambil alih tugas itu secara sepenuh masa selepas persaraannya.

“Bermain bola sepak menjadi sebahagian hidup saya dan keputusan untuk bersara bukannya perkara mudah tetapi saya percaya ini adalah masa yang tepat,” kata Raul, yang mula bermain untuk Sepanyol pada 1996 dan menghasilkan 44 gol dalam 102 perlawanan antarabangsa sepanjang tempoh 10 tahun.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan sepanjang karier saya dan saya tidak sabar menunggu bermain perlawanan akhir dengan New York Cosmos pada minggu yang mendatang.”

Selepas bersama akademi Atletico Madrid, Raul menyertai pesaing tempatan Real pada musim 1992-93. Beliau mula bermain untuk “Los Blancos” pada Oktober 1994 dalam perlawanan liga di Real Zaragoza.

Beliau meninggalkan Real pada 2010 dan menyertai Schalke 04, membantu skuad Bundesliga itu mencecah separuh akhir Liga Juara-Juara pada 2011.

ARTIKEL YANG SAMA