Raul bersara sebagai juara

Raul bersara sebagai juara

NEW YORK, 16 Nov (AFP) – Legenda Real Madrid Raul Gonzales Blanco bersara dengan bergaya semalam selepas membantu New York Cosmos mengalahkan Ottawa Fury 3-2 pada perlawanan akhir untuk menjulang gelaran Liga Bola Sepak Amerika Utara (NASL).

Pemain berusia 38 tahun itu dan pemenang pelbagai gelaran La Liga dan Liga Juara-juara bersama Real, beraksi sepenuh masa dan berjaya mencipta umpanan untuk gol pelengkap hatrik Gaston Cellerino. Cosmos merangkul gelaran kedua NASL selepas kejayaan pertama mereka pada 2013.

“Saya sangat gembira,” kata Raul. “Ia perlawanan terakhir dalam kerjaya saya. Saya amat bangga untuk segala yang saya lakukan dan terima kasih kepada kelab, rakan sepasukan dan peminat untuk tahun ini yang menakjubkan. Bagi saya sekarang, saya memulakan hidup baru dengan projek lain. Saya gembira, tetapi saya juga sedih.”

Walaupun Raul berjaya mencuri tumpuan, Cellerino adalah wira perlawanan yang menghantar pemain Sepanyol Marcos Senna untuk bersara sebagai pemenang.

“Untuk menang di depan Raul adalah situasi yang ideal,” kata Senna. “Saya bersyukur kerana dia berada di sini sepanjang tahun ketika beliau banyak kali membuat perbezaan dan menjaringkan banyak gol. Hari ini dia tidak mendapat gol, tetapi dia membantu. Dia seorang pemain yang mampu mengubah perlawanan.”

Raul (tengah) menjulang trofi Kejohanan NASL 2015 selepas menumpaskan Ottawa Fury di Hempstead, NY semalam. – AFP
Raul (tengah) menjulang trofi Kejohanan NASL 2015 selepas menumpaskan Ottawa Fury di Hempstead, NY semalam. – AFP

Raul memulakan karier profesional di Real Madrid pada 1994, menghabiskan masa selama 16 tahun di sana dan membantu pasukan ibu kota Sepanyol itu menjulang enam mahkota La Liga, empat Piala Super Sepanyol serta tiga gelaran Liga Juara-Juara.

Beliau meninggalkan Real pada 2010 sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa Real Madrid dengan 323 gol sebelum Cristiano Ronaldo menyamakan jaringan 30 September lalu.

Selepas menjaringkan 40 gol dalam 98 perlawanan untuk kelab Jerman, Schalke 04 dan membantu pasukan Bundesliga itu melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara 2011, beliau menyertai kelab Qatar Al-Sadd dan bersara pada 2014 tetapi membuat kemunculan semula akhir tahun lalu bersama Cosmos.

Penghargaan kelab itu terbukti apabila pemain Cosmos menjulang Raul dan Senna ke udara dalam satu penghormatan selepas permainan.

“Kami berasa sangat bertuah organisasi kami mempunyai dua pemain hebat bersara bersama kami,” kata ketua jurulatih Giovanni Savarese.

“Kedua-dua pemain hebat ini menjadikan tugas kejurulatihan saya lebih mudah kerana kualiti yang mereka tunjukkan semasa beraksi. Mereka sangat penting sepanjang tahun dalam melonjakkan standard semua pemain lebih tinggi. Tidak ada cara lain yang lebih baik untuk mereka mengakhiri kerjaya seperti hari ini.”