Raung muntah abu lagi

Raung muntah abu lagi

DENPASAR, Indonesia, 22 Julai – Abu yang diluahkan dari sebuah gunung berapi menutup lapangan terbang di pulau peranginan Indonesia Bali hari ini untuk kali ketiga pada bulan ini, memaksa pembatalan penerbangan dan menyebabkan pelancong terkandas ketika musim kemuncak percutian.

Gunung Raung di pulau utama Indonesia Jawa, yang telah berderam-derum selama beberapa minggu, menyebabkan kepulan abu menyelubungi Bali telah menutup lapangan terbang Ngurah Rai, kata kementerian pengangkutan.

Bagaimanapun penutupan itu hanya sementara, dengan lapangan terbang dibuka semula selepas sekitar dua jam ketika abu ditiup angin ke arah lain. Abu itu juga menutup dua lapangan terbang kecil di Jawa yang menggunakan laluan domestik, dan kedua-duanya kekal ditutup petang hari ini.

Abu gunung berapi dari Raung telahpun menutup lapangan terbang antarabangsa Bali sebanyak dua kali pada bulan ini, di antara 9 dan 12 Julai, memaksa hampir 900 penerbangan dibatalkan atau ditangguhkan dan menimbulkan tunggakan yang mengambil masa beberapa hari untuk diselesaikan.

Penutupan di Bali, destinasi percutian terkenal yang menarik berjuta-juta pelawat dari seluruh dunia ke pantainya setiap tahun, telah berlaku ketika salah satu masa paling sibuk untuk tahun ini untuk industri pelancongan.

Penduduk tempatan yang diangkut menggunakan trak semasa pemindahan penduduk di beberapa buah kampung atas arahan pihak berkuasa tempatan yang tinggal berhampiran Gunung Berapi Gamalama di Ternate pada 22 Julai. Kira-kira 800 penduduk telah dipindahkan ketika wap dan abu menyelubungi beberapa kampung di timur Indonesia. – AFP
Penduduk tempatan yang diangkut menggunakan trak semasa pemindahan penduduk di beberapa buah kampung atas arahan pihak berkuasa tempatan yang tinggal berhampiran Gunung Berapi Gamalama di Ternate pada 22 Julai. Kira-kira 800 penduduk telah dipindahkan ketika wap dan abu menyelubungi beberapa kampung di timur Indonesia. – AFP

Penutupan terbaru juga akan mencetuskan gangguan besar kepada pelancong tempatan, tatkala berjuta-juta orang sedang dalam perjalanan pulang selepas bercuti Hari Raya Aidilfitri pada minggu lalu.

Syarikat penerbangan Australia Virgin Australia dan Jetstar berkata mereka sedang membatalkan penerbangan pada hari ini ke dan dari Bali, destinasi percutian pilihan untuk warga Australia. Masih tidak jelas jumlah penerbangan yang akan dibatalkan akibat penutupan lapangan terbang baru itu. Ahli vulkanologi kerajaan Indonesia Gede Suantika berkata Raung sedang memuntahkan abu 3,000 meter ke udara pada hari ini, dan angin sedang meniupnya ke arah tenggara ke Bali. – AFP