‘Raung’ muntah abu, lapangan terbang ditutup

‘Raung’ muntah abu, lapangan terbang ditutup

SURABAYA, 16 Julai – Abu dimuntahkan dari sebuah gunung berapi berhampiran lapangan terbang di bandar kedua terbesar Indonesia, hari ini, tatkala beribu-ribu orang membuat perjalanan di seluruh negara tersebut menjelang cuti umum Hari Raya Aidilfitri.

Penutupan lapangan terbang antarabangsa yang turut menyediakan khidmat untuk Surabaya, di pulau utama Jawa, menyebabkan beribu-ribu orang yang bercuti terkandas.

Pihak berkuasa mengarahkan penutupan lapangan terbang Juanda berhampiran Surabaya di antara pukul 1:30 perang dan 8:30 malam (1330 GMT) ekoran peningkatan aktiviti dari Gunung Raung, yang meletus secara ganas sejak beberapa minggu lepas, jurucakap lapangan terbang Liza Anindya memberitahu AFP.

“Keprihatinannya ialah bahawa abu terbabit mungkin akan menjejaskan penerbangan,” katanya.

Penutupan itu dibuat ketika musim puncak percutian di Indonesia, apabila rakyat di negara paling ramai penduduk beragama Islam itu pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga.

Para penumpang yang terkandas berbaris di kaunter tiket lapangan terbang selepas pembatalan penerbangan di lapangan terbang Juanda berhampiran Surabaya di timur pulau Jawa pada 16 Julai 2015. – AFP
Para penumpang yang terkandas berbaris di kaunter tiket lapangan terbang selepas pembatalan penerbangan di lapangan terbang Juanda berhampiran Surabaya di timur pulau Jawa pada 16 Julai 2015. – AFP

Perayaan itu yang disambut menjelang akhir Ramadan, dijangka jatuh pada Jumaat ini di Indonesia.

Pihak berkuasa meningkatkan status kewaspadaan Gunung Raung, kira-kira 180 kilometer di barat Surabaya, kepada paras kedua tertinggi pada akhir bulan lepas tatkala gunung berapi berkenaan mula mengeluarkan abu tebal serta lava.

Lapangan terbang di Bali, destinasi percutian utama yang menarik kunjungan berjuta-juta pelancong setiap tahun, ditutup dua kali minggu lepas ketika musim puncak – dengan penutupan paling panjang selama dua hari – berikutan letusan abu tersebut. – AFP