Rawat jiwa dengan mengingati Allah

Rawat jiwa dengan mengingati Allah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei – Tidak ada sesiapa pun yang mahu hidupnya penuh dengan kesusahan, kesengsaraan dan masalah yang berpanjangan di mana kesemua ini adalah ketentuan Allah dan Dia juga yang menganugerahkan pelbagai nikmat termasuk nikmat ketenangan dan kedamaian jiwa.

Ini kerana tanpanya sudah tentu kehidupan manusia itu akan menghadapi bermacam-macam masalah penyakit jiwa seperti tekanan perasaan iaitu stres, runsing, resah gelisah dan yang lebih parah boleh menyebabkan seseorang tidak dapat membuat pertimbangan dengan betul.

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini berkata, gejala ini terjadi antaranya, kerana seseorang itu tidak tahan diuji. Contohnya apabila seseorang itu diberi ujian oleh Allah sama ada berbentuk kesusahan, bala bencana dan malapetaka seperti kemiskinan, banjir, kemarau dan kebakaran, akan timbul perasaan gundah gulana dan berkeluh kesah jiwanya.

“Begitu juga apabila Allah mengurniakan nikmat yang berupa kekayaan kepadanya, timbullah sifat bakhil atau kikir pada dirinya untuk menolong atau memberi bantuan,” tegas Khatib.

Menurut Khatib, tekanan perasaan juga berlaku disebabkan tidak mengingati Allah dan kurang menghayati dan melaksanakan ajaran agama.

“Mereka lebih mementingkan tuntutan hawa nafsu saja seperti nafsu syahwat, makan minum, pakaian berlebihan dan perhiasan yang mahal serta hiburan yang melampaui dan melalaikan tanpa mempedulikan keperluan rohaniah yang berupa amal soleh yang menjurus kepada takwa.

“Tidak mustahil manusia seperti ini akan dihinggapi penderitaan jiwa atau tekanan perasaan tersebut,” tambahnya lagi.

Menurut Khatib, apa yang amat dikesali pada masa ini, terdapat kalangan umat Islam telah mengabaikan pendidikan Al-Quran dan tidak menggunakan Al-Quran sebagai petunjuk dan pembimbing dalam kehidupan mereka.

“Apatah lagi, untuk menggunakan sebagai penawar dalam mengubati penyakit penderitaan jiwa yang mereka hadapi malah ada yang cuba untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang salah seperti meminum arak dan menyalahgunakan dadah.

“Malah ada juga yang menempiaskan masalah mereka kepada orang lain seperti melakukan penderaan kepada isteri atau anak-anak,” kata Khatib sambil menambah bahawa semua ini, dilakukan kerana beranggapan cara tersebut segala masalah akan selesai tapi sebenarnya kelakuan seperti itu menambahkan kekusutan jiwa atau tekanan mereka kelak.

Menurutnya, untuk mendapatkan suasana aman damai, sejahtera, harmoni dan ketenangan jiwa, agama Islam telah menggariskan panduan yang sangat berkesan dalam merawat penyakit jiwa atau tekanan perasaan itu.

Ini antaranya memperbanyakkan zikrullah iaitu mengingati Allah dan kedua melaksanakan segala perintah Allah iaitu mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan laranganNya dan yang ketiga, menyucikan jiwa iaitu dengan cara menjauhi diri daripada segala perbuatan dosa dan maksiat.

Menurut khatib lagi, kekuatan iman adalah banteng dalam mengharungi cabaran kehidupan di dunia dan hanya dengan kembali kepada ajaran agama dan mempraktikkan jiwa manusia itu terselamat daripada kegelisahan dan kekusutan.

Sehubungan itu, Khatib mengingatkan, jangan disebabkan kesibukan mengejar kesenangan, kemewahan atau kemegahan dunia hingga kita lupa pada agama yang mana Allah telah memberi jaminan kepada manusia yang ikhlas dalam melaksanakan ajaran agama Islam saja mempunyai hati yang tenteram, aman dan sentosa.

ARTIKEL YANG SAMA