Rawatan alternatif tidak dihalang

Rawatan alternatif tidak dihalang

Oleh Sim Y. H

 

pg01_160318_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Kementerian Kesihatan tidak menahan mana-mana pesakit untuk berikhtiar atau menggunakan kaedah alternatif bagi merawat penyakit tetapi mereka pada masa yang sama, perlu meneruskan rawatan konvensional yang telah ditetapkan oleh doktor mereka atau rawatan itu tidak bercanggah dan memudaratkan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi berkata ia adalah menjadi naluri seseorang jika mereka sakit untuk mencuba sedaya-upaya supaya akan sihat semula dan dalam hubungan itu akan melihat kepada pelbagai perubatan alternatif bagi merawat penyakit mereka.

“Itu memang sifat manusia, tidak mahu melepaskan sahaja perkara itu, mereka mahu terus hidup,” jelasnya lagi ketika menjawab persoalan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin di persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

Beliau berkata bahawa pihaknya tidak akan menahan mana-mana pesakit menggunakan rawatan alternatif, asal sahaja mereka akan meneruskan rawatan konvensional dan rawatan yang digunakan mereka itu tidak bercanggah atau memudaratkan.

Sementara itu, menyentuh mengenai rawatan pesakit di luar negara yang memerlukan kos yang tinggi, Yang Berhormat Dato Dr. Haji Zulkarnain berkata bahawa pada masa ini dengan berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, mana-mana pesakit yang dirawat di mana rawatan mereka itu tidak ada di Brunei atau tidak mencukupi di Negara Brunei Darussalam, mereka akan dihantar keluar negara untuk mendapatkan rawatan.

“Memang ini akan memakan kos dari segi perbelanjaan walau bagaimanapun, pihak Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa sekiranya rawatan itu memang tidak ada di negara ini, kita seharusnya tidak berputus asa, kerana kita bercakap mengenai nyawa orang, jadi apa yang dapat kita laksanakan, akan dilaksanakan.”

Di samping itu, Yang Berhormat Dato Dr. Haji Zulkarnain berkata dengan adanya The Brunei Cancer Centre (Pusat Kanser Brunei), Negara Brunei Darussalam kini, mempunyai dua orang pakar radioterapi di mana apabila pusat itu dibuka nanti, kita akan dapat mengadakan rawatan radio terapi di negara ini dan dengan sendirinya ia akan mengurangkan kos.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan juga dari segi kepakaran Onkologi akan terus ditingkatkan lagi dan yang lebih penting, tekan Yang Berhormat Dato Dr. Haji Zulkarnain, The Brunei Cancer Centre, mempunyai jaringan (network) mereka sendiri, di mana kalau sekiranya terdapat kes-kes yang jarang dilihat di negara kita ini, pelan rawatan (treatment plan) akan dapat dibuat dengan konsultasi jaringan (network TBC).

ARTIKEL YANG SAMA