Rayani Air berdepan penggantungan jika gagal patuhi peraturan

Rayani Air berdepan penggantungan jika gagal patuhi peraturan

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Rayani Air Sdn Bhd (Rayani Air) mungkin berdepan tindakan penggantungan operasinya jika ia gagal memenuhi peraturan syarikat penerbangan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian itu sedang membuat pemantauan rapi terhadap syarikat berkenaan berikutan aduan orang ramai tentang kelewatan dan pembatalan penerbangannya serta penggunaan pas masuk yang bertulis tangan.

“Kami akan siasat sekiranya laporan dikemukakan kepada kementerian. Kami akan meneliti aduan seperti pembatal-an penerbangan yang tidak diganti. Itu suatu perkara serius.

“Malah, kami juga boleh menggantung perkhidmatan syarikat penerbangan itu sekiranya ia tidak mematuhi arahan kami,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen kelmarin.

Liow mengulas tentang aduan penumpang Rayani Air yang disebarkan dengan meluas dalam media sosial baru-baru ini.

Ditanya bagaimana Rayani Air boleh mendapat lesen operasi, beliau berkata selagi syarikat itu memenuhi peraturan Jabatan Penerbangan Awam (DCA), ia akan diberi lesen.

“Ini negara demokrasi, selagi syarikat penerbangan itu dapat memenuhi syarat DCA, peraturan keselamatan dan pelan perkhidmatannya, kami akan keluarkan lesen itu. – Bernama