Rayani Air buka penerbangan dari KL-Kuching

Rayani Air buka penerbangan dari KL-Kuching

KUCHING, 2 Feb – Rayani Air Sdn Bhd (Rayani Air) melihat Sarawak sebagai sektor terbaharu yang mampu diteroka untuk perkembangan syarikat, kata Pengarah Eksekutifnya, Ravi Alagendrran.

Beliau berkata bagi merealisasikan sasaran tersebut syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia itu akan menjalin kerjasama erat dengan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

“Saya berharap Rayani Air yang kini memulakan penerbangan ke Sarawak akan dapat membantu meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini. Kami (Rayani Air) nak beri perkhidmatan terbaik kepada penumpang serta pelancong ke negeri ini melalui tawaran tambang murah.

“Kami juga bersedia untuk menjalin kerjasama seperti menjalankan promosi serta pakej bersama dengan STB,” katanya dalam sidang media di sini malam tadi. Turut hadir Pengarah Pemasaran STB Benedict Jimbau.

Terdahulu, penerbangan julung kali Rayani Air bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, laluan ke-14 selepas Kuala Lumpur-Langkawi, Kuala Lumpur-Kota Baharu dan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu. Pesawat Boeing 737-400 dengan muatan 120 penumpang itu tiba pada kira-kira 9.50 malam.

Rayani Air kini membuka sayap bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak. - Reuters
Rayani Air kini membuka sayap bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak. – Reuters

Dalam pada itu, Jimbau berterima kasih kepada Rayani Air kerana memilih Sarawak untuk laluan keempat syarikat tersebut.

Beliau berkata penumpang kini mempunyai alternatif selain daripada syarikat penerbangan sedia ada yang menawarkan perkhidmatan ke Sarawak.

Pengurus Komersial Rayani Air, Kulenthiran Balakrishnan berkata sebagai permulaan, Rayani Air menawarkan 11 penerbangan seminggu bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching, tujuh kali seminggu untuk laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu dan tiga kali seminggu bagi laluan Kota Kinabalu-Kuching.

“Pada masa depan pula kami merancang untuk membuka laluan antaranya Kuching-Pulau Pinang dan Kota Kinabalu-Johor Baharu.

“Kita juga merancang untuk laluan Kuching-Miri, Kuching-Tawau, Kuching-Sandakan dan juga Kuching-Labuan. Itu antara perancangan Rayani Air pada masa akan datang khususnya di Sarawak dan Sabah,” katanya. – Bernama