Rayani Air digantung tiga bulan – DCA

Rayani Air digantung tiga bulan – DCA

PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) – Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengeluarkan arahan penggantungan sementara Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air selama tiga bulan berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata notis penggantungan dihantar kepada syarikat penerbangan patuh syariah itu hari ini.

Katanya, siasatan ke atas Rayani Air akan dijalankan pada 12 Mei berhubung perintah penggantungan.

“Penggantungan akan ditarik balik jika mereka memenuhi semua syarat atau kami boleh menggantung secara kekal (Rayani Air) atau mengenakan masa lebih lama. Tiga bulan adalah sementara.

“Kami telah berbincang dengan syarikat penerbangan itu dan mereka tahu mengenainya. Terpulang kepada mereka menambah baik perkhidmatan,” kata Azharuddin pada sidang akhbar di sini.

Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan penggantungan sementara Rayani Air di Ibu Pejabat DCA, kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan penggantungan sementara Rayani Air di Ibu Pejabat DCA, kelmarin. – Bernama

Azharuddin berkata ini kali pertama AOC sebuah syarikat penerbangan digantung di bawah Peraturan 24 Peraturan Penerbangan Awam 1996.

Ditanya sama ada penggantungan syarikat penerbangan itu menjejas reputasi industri penerbangan negara, Azharuddin berkata DCA setakat menjalankan kuasanya selaras dengan peraturan berkaitan.

“Kita tidak boleh biarkan syarikat penerbangan yang telah melanggar peraturan meneruskan penerbangan. Kita perlu berbuat sesuatu,” katanya.

Rayani Air menggantung operasinya Jumaat lepas sehingga diberitahu kelak, sambil menyebut tindakan mogok juruterbangnya sebagai alasan.

Syarikat penerbangan perkhidmatan penuh itu dilancarkan tiga bulan lepas.

Ia merupakan syarikat penerbangan patuh syariah yang pertama di Malaysia dan keempat di dunia selepas Royal Brunei Airlines, Saudi Arabian Airlines and Iran Air.

ARTIKEL YANG SAMA