Rayani Air rancakkan pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi Kelantan

Rayani Air rancakkan pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi Kelantan

KOTA BAHARU, 21 Dis (Bernama) – Syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia, Rayani Air yang memulakan penerbangan sulungnya dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu semalam, akan merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Datuk Mohd Anizam Abdul Rahman berkata perkhidmatan penerbangan yang disediakan syarikat itu juga akan merancakkan lagi penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, yang pada masa ini terdapat 44 penerbangan sehari.

“Kita berharap syarikat penerbangan patuh syariah ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat Kelantan dan merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Pendaratan sulung pesawat Boeing 737-400 syarikat itu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra semalam, membawa 150 penumpang termasuk 18 orang anak yatim dari Institut Taufik Islami, Klang, Selangor.

Mohd Anizam berkata kemudahan perkhidmatan penerbangan amat penting yang menjadi pengangkutan pilihan kepada pelancong untuk berkunjung ke Kelantan.

Rayani Air merupakan hasil usaha sama dua perniagaan iaitu syarikat minyak dan gas, Merdeka Jayabumi Enterprise dan syarikat perlombongan, Terus Maju Metal.