Rayu derma buah pinggang

Rayu derma buah pinggang

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Bekas atlet renang persendirian yang pernah mewakili negara, Awang Mohammad Fadillah bin Newi, 35, merayu kepada sesiapa yang berkesudian untuk mendermakan buah pinggang kepada beliau demi meneruskan kehidupan dan impiannya dalam sukan yang digemarinya itu.

Meskipun sudah mendapatkan permohonan untuk pemindahan buah pinggang di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), namun bapa enam orang anak itu masih diletakkan dalam senarai menunggu.

“Saya berharap ada orang yang berkesudian mendermakan buah pinggang kepada saya kerana ketika ini saya hanya berada di rumah dan tidak berdaya melakukan banyak pergerakan kerana adanya hos dan beg yang disambung ke pinggang saya. Jika melakukan banyak pergerakan, saya khuatir ia akan koyak,” katanya dalam temu bual dengan wartawan Media Permata di rumah beliau hari ini.

Beliau yang mempunyai enam orang anak berusia dalam lingkungan 2-15 tahun itu menyara keluarganya dengan gaji yang masih diterimanya dalam cuti persaraan dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

“Setelah potongan pelbagai bil, baki gaji saya hanya $250 untuk keperluan rumah, anak dan tidak termasuk bayaran rumah lagi. Jika sihat, sudah tentu saya akan cuba mencari pendapatan lain, tanpa mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Awang Fadillah menunjukkan beg khas yang bersambung dengan hos ke pinggang beliau.
Awang Fadillah menunjukkan beg khas yang bersambung dengan hos ke pinggang beliau.
Awang Fadillah menunjukkan tangan beliau yang telah pun dibedah untuk rawatan mencuci buah pinggang.
Awang Fadillah menunjukkan tangan beliau yang telah pun dibedah untuk rawatan mencuci buah pinggang.
Awang Fadillah dan isteri bersama lima daripada enam orang anaknya.
Awang Fadillah dan isteri bersama lima daripada enam orang anaknya.

Menurutnya lagi, isteri beliau juga terpaksa mencari pendapatan lebih dengan bekerja menjaga anak-anak saudara maranya dengan bayaran $100 sebulan.

“Kadang-kadang kami suami isteri berusaha menambahkan pendapatan dengan menjual nasi lemak, namun masalah kesihatan dan modal yang tidak mencukupi menyebabkan kami terpaksa menghentikan perniagaan seketika,” jelas Fadillah lagi.

Menurutnya, beliau juga sudah membuat permohonan bantuan semenjak 14 April 2014 kepada pihak relevan namun mendapat jawapan ia masih diproses dan ada yang memberi jawapan mendukacitakan serta dalam pertimbangan.

Anak beliau yang pertama berusia 15 tahun juga bekerja sambilan di salah sebuah kedai cuci kereta di Kiarong untuk membantu beliau sekeluarga.

Fadillah kini tidak terdaya meneruskan impiannya apabila beliau secara tiba-tiba diserang sakit pada 8 Mac 2014 dan dikhabarkan memiliki tahap racun dalam badan yang tinggi.

“Ketika itu saya diserang demam selama 10 hari namun saya masih membuat latihan berenang untuk persiapan bertanding 7.2km di Labuan Malaysia dan 10km di Bali,” katanya.

Pada 8 Mac itu beliau tersungkur tidak terdaya bergerak lagi sehingga dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kecemasan.

Sejak setahun yang lalu itu, beliau hanya berada di rumah dengan pergerakan dan aktiviti yang terhad, meskipun sebelumnya beliau merupakan seorang atlet yang aktif berenang dan berlari.

“Kini buah pinggang saya tidak berfungsi sepenuhnya lagi dan mengharapkan hos yang disambung melalui pinggang ke beg khas ini untuk mengelakkan rawatan cucian buah pinggang ke klinik, tetapi ada kalanya saya harus melakukan rawatan itu,” tambahnya, dengan harapan selepas ini ada yang berkesudian mendermakan buah pinggang kepadanya.