Rayuan akhir Blatter

Rayuan akhir Blatter

LAUSANNE, 25 Ogos – Bekas Presiden FIFA, Sepp Blatter kembali berada di mahkamah dalam usaha terakhirnya untuk membatalkan hukuman penggantungan enam tahun ke atasnya daripada semua aktiviti bola sepak selepas lebih setahun dihimpit skandal rasuah ketika menerajui badan bola sepak dunia itu.

Bekas bos FIFA itu hadir untuk memfailkan rayuan terakhir bagi membersihkan namanya kepada tribunal tertinggi sukan dunia iaitu Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Blatter yang menyifatkan penggantungan itu sebagai ‘bodoh’, bakal tiba untuk mendengar kesnya itu di Lausanne, awal pagi esok. Hujah di CAS dijangka berlangsung hanya dalam tempoh sehari meskipun keputusan bakal diketahui dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

“Saya sangat yakin,” kata Blatter, 80, kepada AFP minggu lalu meskipun prospek untuknya meraih keputusan positif tampak agak sukar.

Sepp Blatter semasa tiba di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne, Switzerland, kelmarin. – AP
Sepp Blatter semasa tiba di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne, Switzerland, kelmarin. – AP

Skandal dihadapinya itu mula timbul pada September tahun lalu apabila pihak pendakwa Switzerland mengesahkan mereka menyiasat salah guna kuasa oleh Blatter atas dakwaan pembayaran 2 juta swiss franc kepada Michel Platini yang disahkan olehnya pada tahun 2011.

Pendedahan itu mencetuskan penggantungan sementara oleh jawatankuasa etika FIFA dan satu siasatan penuh serta perbicaraan oleh mahkamah dalaman badan induk itu mendapati Blatter dan Platini masing-masing bersalah kerana melanggar etika ditetapkan.

Kedua-dua individu itu dikenakan hukuman penggantungan daripada aktiviti berkaitan bola sepak selama lapan tahun pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, jawatankuasa rayuan FIFA memendekkan penalti itu kepada enam tahun pada Februari, hanya sebelum pengganti Blatter, Gianni Infantino dipilih sebagai presiden FIFA yang baharu. – AFP