Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat telekomunikasi mula menjalani hukuman penjara hari ini setelah rayuannya terhadap hukuman bagi kesalahan rasuah telah ditolak Mahkamah Tinggi.
Zulkifli bin Haji Talip meminta untuk dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya, tetapi didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret kerana kes pendakwaan terhadap perayu adalah di luar keraguan munasabah, yang membawa kepada hukuman penjara setahun dijatuhkan ke atasnya.
Dakwaan yang dikemukakan oleh pendakwa perbicaraan dan responden dalam rayuan berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Hajah Suriana binti Haji Radin, adalah berdasarkan siasatan Biro Mencegah Rasuah (BMR).
Siasatan mendedahkan perayu telah cuba mendapatkan suapan dalam bentuk komisen 5 peratus daripada pengarah urusan syarikat lain, sebagai ganjaran kerana mengesyorkannya untuk menjadi sebahagian daripada projek syarikat telekomunikasi itu yang bernilai $923,593.60.
Mewakili pemohon, Peguam Sheikh Noordin Sheikh Mohammad membantah hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah dengan menyatakan bahawa ia adalah salah kerana tidak memberikan kredit yang cukup kepada anak guamnya atas kelewatan pendakwaan dan perbicaraan.
Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong menolak rayuan kerana bersetuju dengan jawapan Timbalan Pendakwa Raya Hajah Suriana yang menyatakan bahawa kelewatan itu disebabkan pertukaran penyiasat, pendakwa dan majistret selepas ia diperintahkan untuk menjalani perbicaraan semula selepas penggantungan kes.
Ketua Hakim Negara tidak bersetuju dengan hujahan perayu yang menyatakan bahawa kelewatan itu adalah keadaan luar biasa yang mewajarkan perintah percubaan dan khidmat masyarakat.
Ketua Hakim Negara juga mengetengahkan pertikaian responden terhadap permohonan bahawa kes itu agak dikeruhkan dengan fakta bahawa perayu memegang jawatan kanan yang memegang tahap amanah tertentu, jumlah besar yang terlibat dalam percubaan untuk mendapatkan suapan serta tempoh dan kegigihan perayu dalam usaha untuk mendapatkan suapan.
Dengan keputusan Mahkamah Tinggi menolak rayuan itu, perayu yang diberi penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan, segera menjalani hukumannya hari ini.