Rayuan pengurangan hukuman ditolak

Rayuan pengurangan hukuman ditolak

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Dis – Mahkamah Rayuan di sini, menolak permohonan dua lelaki untuk mendapatkan pengurangan hukuman atas pertuduhan penyeludupan manusia.

Tiga panel hakim iaitu Hakim John Barry Mortimer, Hakim Leonard dan Hakim Burrel, sebulat suara memutuskan bahawa tidak ada kesilapan dalam penemuan dan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Perantaraan dalam menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

Shahrizan bin Mudanin dan Santony bin Anjin, pada 2 Julai 2015, telah disabitkan oleh Mahkamah Perantaraan, dan masing-masing dijatuhi empat tahun penjara dan tiga sebatan.

Hakim Haji Abdullah Soefri bin POKSMDSP Haji Abidin yang menjatuhkan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh pada waktu itu turut mengarahkan mereka membayar denda sebanyak $1 atau berdepan seminggu penjara jika gagal membayar denda.

pg06_151228_mahkamah logo

Menurut fakta kes, Shahrizan memandu keretanya dari Sabah bersama Santony sebagai penumpang dan seorang wanita warga Filipina yang duduk di tempat duduk belakang, pada 17 Oktober 2014.

Mereka hendak membawa wanita itu ke Miri dan ketika sampai di Pos Kawalan Kuala Lurah, Shahrizan menunjukkan pasport mereka.

Pegawai imigresen yang bertugas mengesyaki sesuatu dan mengarahkan wanita Filipina yang berbaring ketika itu, untuk duduk supaya dia boleh melihatnya.

Pegawai itu menyedari pasport wanita yang ditunjukkan oleh Shahrizan itu bukan milik wanita itu, di mana dia terus menahan mereka untuk siasatan.

ARTIKEL YANG SAMA