Rayuan Suarez ditolak

Rayuan Suarez ditolak

BARCELONA, 13 Jan (AFP) – Rayuan penyerang Barcelona, Luis Suarez yang digantung dua perlawanan ditolak jawatankuasa rayuan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol, semalam.

Penyerang kelahiran Uruguay berusia 28 tahun itu digantung selepas dia menghina pemain Espanyol pada aksi pertama kelompok 16 terbaik Piala Raja Sepanyol yang berkesudahan Barcelona menang 4-1.

Berdasarkan laporan pengadil perlawanan, Juan Martinez Munuera, Suarez menunggu pemain Espanyol di dalam terowong stadium selepas perlawanan sebelum menjerit ke arah mereka berulang kali: ‘Saya tunggu kamu di sini, mari datang ke sini, orang tak guna.’

Situasi itu menyebabkan pemain kedua-dua pasukan bertelagah di dalam terowong stadium sebelum dileraikan pegawai keselamatan.

Suasana perlawanan juga sudah tegang memandangkan aksi terbabit menampilkan pertembungan antara musuh setempat Catalan.

Rayuan Suarez terhadap penggantungan dua perlawanannya ditolak jawatankuasa rayuan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol. – Reuters
Rayuan Suarez terhadap penggantungan dua perlawanannya ditolak jawatankuasa rayuan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol. – Reuters

Dua pemain Espanyol diarahkan keluar padang selepas menerima kad merah, namun mereka terlepas daripada apa-apa tindakan walaupun penjaga gol mereka, Pau Lopez, memijak kaki Messi.

Jawatankuasa rayuan menyatakan tindakan Suarez itu sebagai ‘tindakan terancang’ dengan dia ‘sengaja mengeluarkan kata-kata provokasi berulang kali’.

Kontroversi yang menghimpit Suarez sebelum ini menyebabkan dia digantung empat kali – tiga kali kerana menggigit pemain pasukan lawan dan sekali kerana mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman kepada pertahanan Perancis, Patrice Evra ketika dia bersama Liverpool.