RB-Hong Kong Airlines tandatangani perkongsian kod

RB-Hong Kong Airlines tandatangani perkongsian kod

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) hari ini melakar satu lagi sejarah dalam meluaskan rangkaian penerbangan ke negara-negara di rantau Asia apabila menandatangani perjanjian perkongsian kod penerbangan bersama Hong Kong Airlines.

Menandatangani bagi pihak RB ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Karam Chand dan Hong Kong Airlines diwakili oleh Ketua Pegawai Komersial, Li Dianchun.

Karam Chand ketika ditemui berkata, di bawah perjanjian berkenaan, kod ‘HX’ Hong Kong Airlines akan dimasukkan pada penerbangan harian RB di antara Bandar Seri Begawan dan Hong Kong.

Pada masa yang sama, Hong Kong Airlines akan menggunakan kod ‘BI’ pada penerbangan hariannya antara Hong Kong dan seterusnya ke Tokyo, Jepun.

“Majlis pada hari ini merupakan satu lagi mercu tanda RB untuk mengembangkan luaskan produk RB ke negara-negara terbesar dunia.

Li Dianchun (kiri) dan Karam Chand bertukar-tukar dokumen selepas penandatanganan perjanjian perkongsian kod.
Li Dianchun (kiri) dan Karam Chand bertukar-tukar dokumen selepas penandatanganan perjanjian perkongsian kod.

“Hong Kong merupakan pasaran yang mempunyai lebih 1 juta penumpang dan ini merupakan satu peluang untuk RB mendapatkan keuntungan,” ujar beliau.

Beliau memberitahu bahawa perkongsian kod Bandar Seri Begawan ke Hong Kong dan sebaliknya ini akan bermula pada 8 September, manakala penerbangan ke Tokyo, Jepun melalui Hong Kong pula akan dibukakan pada November 2016.

“Hong Kong Airlines mempunyai 30 rangkaian destinasi yang tidak ditawarkan oleh RB, dan dengan perjanjian ini, pelanggan berpeluang menggunakan rangkaian ini ke Tokyo, Jepun melalui Hong Kong,” ujarnya.

Dalam pada itu, Karam Chand juga menyentuh mengenai perkembangan RB, yang katanya, RB sedang membuat penelitian dan merancang untuk membeli tujuh buah kapal terbang bagi tujuan membuka lebih banyak rangkaian penerbangan.

Li Dianchun pula memberitahu Media Permata, dengan adanya perjanjian ini, beliau menjangkakan lebih ramai penumpang akan bergerak di antara Hong Kong dan Brunei.

Beliau percaya dengan adanya kerjasama ini, Hong Kong dan Brunei akan dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala dan seterusnya mengembangkan rangkaian di antara kedua-dua buah negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tiket penerbangan antara Bandar Seri Begawan dan Hong Kong di bawah perjanjian perkongsian kod berkenaan boleh didapati di syarikat-syarikat penerbangan dan pelancongan yang berdaftar atau melalui RB dan Hong Kong Airlines.

Penerbangan perkongsian kod dari Bandar Seri Begawan ke Hong Kong akan menggunakan kod HX1635/BI635. Jadual penerbangan pula bermula pukul 10:30 pagi dan dijangka tiba di Hong Kong pada pukul 1:35 petang.

Manakala itu, penerbangan dari Hong Kong ke Bandar Seri Begawan akan menggunakan kod yang sama, dan jadual penerbangan bermula pukul 2:35 petang dan dijangka tiba di BSB pada pukul 5:40 petang.

Seterusnya, jadual penerbangan Hong Kong ke Tokyo pula akan menggunakan kod HX610/BI3403, dan penerbangan akan berlepas pada pukul 3:30 petang dan dijangka tiba pada pukul 8:55 malam. Sementara itu, penerbangan dari Tokyo ke Hong Kong akan menggunakan kod HX611/Bl3404, dan berlepas pukul 9:30 pagi dan dijangka tiba di Hong Kong pada pukul 1:30 petang.

ARTIKEL YANG SAMA