RB lancar pejabat Manila diperbaharui

RB lancar pejabat Manila diperbaharui

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah melancarkan semula pejabatnya yang telah diperbaharui dan dijenamakan semula di Makati City, Manila, Filipina.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancaran semula itu, kelmarin, ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Brunei Darussalam ke Filipina, Puan Yang Terutama Datin Paduka Malai Hajah Halimah binti Malai Haji Yussof.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi RB, Dermot Mannion; Setiausaha Jabatan Pelancongan Filipina, Ramon Jimenez; Pengarah Eksekutif Lembaga Aeronautik Awam Filipina, Carmelo Arcilla; dan bekas gabenor Pampangga juga Ketua Pegawai Operasi Tieza, Mark Lapid.

Menurut kenyataan RB, di sini, hari ini, majlis berkenaan dihadiri oleh para pengamal media dan profesional perdagangan pelancongan, yang memberi peluang kepada RB untuk mempamerkan seragam baru diinspirasikan warisan budaya Brunei yang dipakai oleh kakitangan perkhidmatan pelanggan di Manila.

Spektrum warna seragam daripada hijau buah zaitun hingga biru langit pagi dan hijau pudina segar, bersama susun atur pejabat yang bersemangat, semuanya direka untuk menggambarkan sifat mesra rakyat Brunei dan jenama RB.

Gambar fail pesawat RB yang diperbaharui semula jenamanya. Selain logo pesawat, pejabat-pejabat RB di seluruh dunia termasuk Makati City, Manila turut diperbahrui.
Gambar fail pesawat RB yang diperbaharui semula jenamanya. Selain logo pesawat, pejabat-pejabat RB di seluruh dunia termasuk Makati City, Manila turut diperbahrui.

Menurut kenyataan itu, kejayaan penjenamaan semula RB telah menerima pengiktirafan antarabangsa dalam Anugerah 100 Penjenamaan Semula Global 2014.

Manila merupakan perhentian terbaru dalam proses penjenamaan semula yang dilaksanakan ke seluruh rangkaian RB.

RB memulakan perkhidmatan berjadual ke Manila pada 1 Mei 1977 dengan kekerapan dua penerbangan seminggu dan kini, 38 tahun kemudian, ia meningkat kepada perkhidmatan harian.

Semasa majlis pelancaran semula itu, RB turut mengambil kesempatan memperkenalkan Ejen Jualan Am Filipina baru iaitu Avia-Rh Inc.

Pengurus Besar Avia-RH Inc, Joanne Sarmiento melahirkan perasaan bangga mereka menjadi sebahagian daripada keluarga RB dan berkata, “Kami komited untuk membangunkan pasaran mereka di Filipina dan menyumbang kepada pasaran pelancongan yang meningkat di Asia Pasifik dan menghubungkan rakyat Filipina ke destinasi-destinasi di seluruh dunia dengan RB.”

Sementara itu, Dermot Mannion, dipetik sebagai berkata, “Kami gembira meraikan pelancaran penjenamaan semula kami di Manila dengan pelantikan Avia-RH Inc sebagai GSA. Kini RB mempunyai produk yang sangat baik untuk dijual dan para penumpang dari Filipina juga akan dapat menggunakan kemudahan terminal yang telah diperbaharui di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

“Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Pasukan Avia-RH dalam menjadikan RB sebagai pilihan digemari ke semua destinasi yang kami tawarkan,” tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA