RB lanjut kerjasama dengan Wu Chun

RB lanjut kerjasama dengan Wu Chun

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah melanjutkan kerjasama dengan Wu Chun untuk terus menjadikan pelakon terkenal kelahiran Brunei itu sebagai duta jenamanya, dengan penandatanganan kontrak baru pada hari terakhir Jerayawara RB di Shanghai, China, hari ini.

Menurut kenyataan RB, di sini, hari ini, menandatangani kontrak bagi melanjutkan tempoh kerjasama dengan Wu Chun itu bagi pihak RB ialah Ketua Pegawai Komersial dan Perancangan RB, Karam Chand.

Karam Chand dipetik sebagai berkata, “Kami sangat berbangga untuk bekerjasama dengan Wu Chun, yang berjiwa keBruneian, yang secara intensif telah mempromosikan syarikat penerbangan kebangsaan ini sebagai syarikat penerbangan pilihan bagi pelanggan China ke destinasi-destinasi menarik di seluruh laluan Asia Tenggara termasuk Brunei, Kota Kinabalu dan Bali.”

Beliau seterusnya berkata, populariti Wu Chun di China telah membantu mereka untuk mencapai pelanggan-pelanggan baru dalam pasaran pelancong yang besar dan kompleks sekali gus membawa kepada pertumbuhan besar jumlah penumpang dalam penerbangan Shanghai dan Hong Kong.

“Melanjutkan perkongsian yang sangat berjaya ini memang patut dilakukan dan kami tidak sabar untuk mengadakan lebih banyak acara-acara dan promosi bersama Wu Chun di seluruh rangkaian laluan kami,” tambahnya.

RB terus menjadikan pelakon Wu Chun sebagai duta jenamanya dalam mempromosikan syarikat tersebut sebagai syarikat penerbangan pilihan pelanggan China.
RB terus menjadikan pelakon Wu Chun sebagai duta jenamanya dalam mempromosikan syarikat tersebut sebagai syarikat penerbangan pilihan pelanggan China.

Menurut kenyataan RB, jerayawara dua hari yang berlangsung di Super Brand Mall, Shanghai, China itu telah menarik beribu-ribu pengunjung.

Ia merupakan jerayawara ketiga yang dianjurkan oleh RB bersama Wu Chun di tanah besar China sejak menandatangani perjanjian pada Ogos 2014, dengan jerayawara di Guangzhou telah diadakan pada Disember 2014 dan di Shenzhen pada Jun 2015.

Sepanjang jerayawara berkenaan, pelbagai permainan dan aktiviti telah diadakan bagi para peminat dan pengunjung, dan pertandingan “Di Mana Brunei, Bali & Sabah?” yang dikendalikan RB sendiri mendapat sambutan menggalakkan dengan para pemenang yang berjaya menunjukkan lokasi Brunei pada peta menerima hadiah menarik.

Sementara itu, hari ini, Wu Chun, yang terkenal dengan rancangan realiti TV di China, membuat kemunculan istimewa di mana dia berkongsi pandangan dan pengalamannya menaiki penerbangan RB dan mengenai potensi destinasi-destinasi percutian.

Jerayawara ini berobjektif untuk mewujudkan kesedaran jenama dalam pasaran China serta mempromosikan produk-produk dan perkhidmatan RB.

Semasa jerayawara itu, SAL & Happy Holidays turut mempromosikan pakej-pakej percutian ke Brunei dan destinasi-destinasi lain, di mana ramai peminat mengambil peluang untuk membuat tempahan bagi percutian mereka.

ARTIKEL YANG SAMA