RB, Lufthansa tandatangani kerjasama

RB, Lufthansa tandatangani kerjasama

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan Lufthansa Technik telah menandatangani kontrak selama 10 tahun meliputi sokongan komponen bagi barisan pesawat RB A320 dan A320neo yang akan datang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkannya di sini, hari ini, RB menjelaskan bahawa skop perkhidmatan termasuk pengurusan pembaikan bagi barisan komprehensif unit-unit boleh ganti, peruntukan inventori kritikal di pangkalan RB di Brunei dan akses kepada rangkaian perkhidmatan komponen global Lufthansa Technik.

Di samping itu, Lufthansa Technik akan menyokong RB dengan produk c.more®, penyelesaian pengurusan bekalan bagi bahan-bahan yang cepat habis dan tidak penting.

Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand dipetik sebagai berkata, “Kami gembira untuk bekerjasama dengan Lufthansa Technik bagi program sokongan komponen. Mereka adalah salah satu organisasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih terbaik di dunia dan kami percaya menerusi perkongsian ini kami akan dapat menggunakan kepakaran mereka bagi manfaat kami.

Karam Chand (kiri) bersama Gerald Steinhoff ketika menandatangani kontrak tersebut.
Karam Chand (kiri) bersama Gerald Steinhoff ketika menandatangani kontrak tersebut.

“Kami percaya bahawa dengan pengalaman luas Lufthansa Technik ke atas pesawat A320 bersama keupayaan kami untuk mengakses perkhidmatan global mereka, terutamanya di Singapura dan Hong Kong, kami akan mendapat sokongan optimum bagi kumpulan Airbus kami,” tambahnya.

Sementara itu, Naib Presiden Jualan Lufthansa Technik Vice bagi Asia Tenggara dan Australia, Zang Thio pula berkata, “Kami teruja kerana telah dipilih oleh RB dan mengharapkan perkongsian yang berjaya.

“Kami percaya bahawa persaingan kos dan kepakaran teknikal kami akan menyumbang kepada pertumbuhan RB. Di samping itu, kami yakin bahawa cadangan unik perkhidmatan serantau kami akan memberikan kestabilan operasi peringkat tertinggi kepada RB,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA