RB menang kontrak perjalanan kerajaan Australia

RB menang kontrak perjalanan kerajaan Australia

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Kerajaan Australia telah memilih Royal Brunei Airlines (RB) untuk menyediakan perkhidmatan perjalanan udara bagi kakitangannya, jabatan-jabatan serta organisasi-organisasi yang berkaitan.

Dengan pemilihan itu, RB akan menyertai barisan panel syarikat penerbangan yang diluluskan, termasuk syarikat-syarikat penerbangan utama yang beroperasi ke Australia, kata RB dalam satu kenyataan di sini.

“Dengan itu, kakitangan kerajaan Australia kini boleh membuat perjalanan menggunakan perkhidmatan pesawat 787 Dreamliner RB dari Melbourne ke Brunei dan seterusnya ke rangkaian destinasi-destinasi RB di seluruh dunia.”

Menurut RB, kontrak perkhidmatan perjalanan udara itu bermula pada Mei 2016 untuk tempoh lima tahun.

Pengurus Negara RB di Australia, Brett McDougall berkata, pemilihan RB sebagai sebahagian daripada panel syarikat penerbangan kerajaan Australia merupakan satu pengiktirafan besar terhadap perkhidmatan pelanggan syarikat, keramahan kakitangan serta harga yang kompetitif.

Gambar fail: Pramugara RB menunjukkan demonstrasi keselamatan kepada penumpang pesawat 787 Dreamliner semasa penerbangan sulungnya ke Singapura pada Oktober 2013.
Gambar fail: Pramugara RB menunjukkan demonstrasi keselamatan kepada penumpang pesawat 787 Dreamliner semasa penerbangan sulungnya ke Singapura pada Oktober 2013.

Manakala Ketua Bahagian Jualan RB, Christina Chua pula mengalu-alukan kemasukan akaun korporat seraya berkata, kejayaan pemilihan itu dicapai menerusi kerjasama rapat seluruh kakitangan RB dalam membina kecemerlangan dalam perniagaan ini dan penghargaan adalah untuk semua mereka yang terlibat.

RB kini mengendalikan armada 10 buah pesawat terdiri daripada empat pesawat B787-8 Dreamliner bersama-sama dengan enam buah pesawat A320. Syarikat itu juga telah memesan sebuah lagi pesawat B787-8 Dreamliner serta mengesahkan kontrak dengan Airbus untuk membeli sehingga 10 buah pesawat A320nee, yang dijangka diserahkan mulai 2017.

RB juga merupakan syarikat penerbangan pertama di dunia yang menawarkan perkhidmatan eksklusif Dreamliner bagi perjalanan pergi dan balik dari Melbourne ke London melalui Brunei dan Dubai.

ARTIKEL YANG SAMA