RB meterai perkongsian kod

RB meterai perkongsian kod

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah pun menandatangani perjanjian perkongsian kod dengan China Eastern Airlines (MU) yang akan menghubungkan penumpang dari Bandar Seri Begawan ke Shanghai (dan sebaliknya).

Perjanjian berkenaan telah ditandatangani oleh Ketua Perkhidmatan Korporat RB, Aji Puteh dan Timbalan Pengarah Urusan Eksekutif, Jawatankuasa Pemasaran dan Jualan, China Eastern Airlines, Zeng Yongchao.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan RB, di sini, hari ini, di bawah perjanjian perkongsian kod berkenaan, China Eastern Airlines akan menambah kod ‘MU’ kepada penerbangan yang dikendalikan RB dari Bandar Seri Begawan ke Shanghai dan sebaliknya.

RB dalam kenyataannya menyatakan bahawa perkongsian kod ini telah pun bermula sejak 1 Julai 2016, dan kedua-dua syarikat penerbangan akan berusaha ke arah mengembangkan perkongsian berkenaan ke bahagian lain di China.

Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand, dipetik mengalu-alukan penyertaan China Eastern Airlines sebagai rakan perkongsian kod. Menurutnya, China merupakan pasaran yang mempunyai lebih 120 juta orang penumpang ke luar dengan nilai lebih AS$100 bilion setahun.

“Perkongsian dengan China Eastern ini akan membolehkan RB memanfaatkan rangkaian besar dan kuasa pemasaran salah sebuah syarikat penerbangan terbesar di dunia,” tambahnya.

Manakala itu, Zeng Yongchao pula menyatakan bahawa beliau menjangkakan lebih ramai penumpang akan bergerak di antara China dan Brunei selepas pelaksanaan kerjasama perkongsian kod berkenaan.

“Mengalu-alukan lebih ramai pelancong Brunei ke Shanghai,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA