RB modenkan armada

RB modenkan armada

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah memulakan fasa seterusnya program pemodenan armadanya dengan menandatangani perjanjian pembelian dengan Pratt & Whitney bagi 15 buah enjin PWIIOOG-JM.

RB dalam kenyataannya, di sini, hari ini, menyatakan bahawa enjin-enjin cekap bahan api ultra ini dinilai pada harga senarai $145 juta dan akan digunakan bagi tujuh buah pesawat A320 NEO generasi baru yang mesra alam, dengan penghantaran bermula lewat 2017.

Pada masa ini, RB sedang dalam proses menghentikan dua buah pesawat A319 miliknya yang digantikan dengan dua unit Airbus A320 NEO serba baru. Ini membawa jumlah armada penerbangan jarak dekat menggunakan pesawat A320 kepada enam unit bersama empat buah pesawat Dreamliner 8787-8 yang telah digunakan bagi destinasi-destinasi jarak jauh.

Persiapan-persiapan sedang berjalan lancar bagi pengendalian pesawat A320 NEO yang akan memberikan kemudahan-kemudahan kabin dan hiburan dalam pesawat yang terkini.

Ketua Pegawai Komersial dan Perancangan RB, Karam Chand, dipetik sebagai berkata, “RB gembira dengan enjin-enjin PWIIOOG-JM Pratt & Whitney yang kami pilih untuk menguasakan armada Airbus A320 NEO akan datang. Ini akan memastikan standard tinggi kecekapan operasi serta sangat menjimatkan kos bahan api”.

Manakala itu, Naib Presiden Jualan Asia Pasifik dan China bagi Pratt & Whitney, Mary Ellen Jones pula berkata, “Kami sangat berbangga, RB telah memilih enjin Geared Turbofan (GTF) untuk menguasakan pesawat A320 NEO mereka.

“Kecekapan bahan api dan manfaat ekonomi dan alam sekitar lain GTF akan menjadi penyumbang besar kepada pembaharuan armada RB,” tambahnya.