RB rai ulang tahun jubli perak

RB rai ulang tahun jubli perak

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Penerbangan Diraja Brunei (RB), hari ini, telah meraikan ulang tahun jubli perak bagi penerbangannya ke London dalam majlis yang diadakan di London.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke United Kingdom, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah rakan-rakan perdagangan RB, para pegawai Suruhanjaya Tinggi Brunei dan Kesatuan Pelajar Brunei serta warga media.

Menurut kenyataan RB yang dikeluarkan di sini, hari ini, penerbangan mingguan pertama RB ke London Gatwick berlepas pada 21 November 1990 dan kurang dari setahun kemudian, pada 14 Mei 1991, RB meningkatkan kekerapan penerbangan kepada dua kali seminggu, kali ini ke London Heathrow, dan pada 2004, RB melakukan penerbangan harian ke London.

Majlis sambutan turut diselajurkan dengan pelancaran Pusat Khidmat Pelanggan di London yang baru sahaja diperbaharui.

Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bergambar ramai dalam majlis meraikan ulang tahun jubli perak RB yang diadakan di London.
Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bergambar ramai dalam majlis meraikan ulang tahun jubli perak RB yang diadakan di London.

Pelancaran pejabat yang diperbaharui itu, terletak di 49 Cromwell Road, London SW7 2ED, telah disempurnakan oleh TYT Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bersama Pemangku Ketua Pegawai Komersial dan Perancangan RB, Awang Mohd Hanif bin Abdullah.

Pada majlis itu, seorang kakitangan khidmat pelanggan RB memakai uniform yang diinspirasikan daripada warisan RB, di mana spektrum warna uniform yang lembut daripada warna hijau tua dan hijau muda, bersama susun atur pejabat yang bertenaga, semuanya direka untuk menggambarkan ciri-ciri mesra jenama RB.

“Selepas 41 tahun perkhidmatan dan 25 tahun perkhidmatan tanpa gangguan ke London, RB kini sedia untuk bergerak ke fasa baru, setelah membangunkan identiti tersendiri sebagai syarikat penerbangan butik yang beroperasi daripada Nadi Pulau Borneo,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand.

Beliau seterusnya menambah, syarikat penerbangan itu akan terus fokus untuk meningkatkan kepuasan pelanggan dan menggembirakan pelanggan dengan layanan mesra orang Brunei.

Secara keseluruhannya, menurut beliau lagi, RB boleh memandang ke hadapan dengan sikap optimistik dengan semangat, dedikasi, kepakaran, tenaga dan komitmen kakitangannya dan sokongan berterusan rakan-rakan industri pelancongan.

ARTIKEL YANG SAMA